
Permainan video tanpa keganasan terbaik untuk dewasa

Mengalahkan musuh dalam permainan video anda sememangnya seronok, namun bersantai dengan sesuatu yang lebih tenang dan kasual juga boleh mendatangkan keseronokan. Nasib baik, ada banyak permainan video tanpa keganasan yang tersedia, sesuai untuk orang dewasa. Dalam kisah ini, kami akan menyenaraikan beberapa permainan kegemaran kami.
Bagaimanakah Epic Games menentukan sesuatu permainan komputer itu tanpa keganasan?
Permainan tanpa keganasan biasanya tidak menumpukan perhatian kepada elemen kengerian dan keganasan. Permainan ini terdiri daripada pelbagai bentuk dan genre. Permainan teka-teki dan simulasi yang mencabar anda untuk berfikir, merancang dan bertindak balas juga tidak kurang menariknya berbanding permainan penembak kompetitif.
Permainan video tanpa keganasan terbaik untuk PC
Tetris Effect: Connected
Tetris Effect: Connected memberikan nafas baharu kepada formula permainan teka-teki klasik. Ia memberikan pengalaman permainan teka-teki yang menenangkan, mengasyikkan, termasuklah berunsur meditasi dengan visual yang cantik dan permainan ko-op.
The Sims 4
Siri The Sims membolehkan pemain mencipta manusia digital dan melihat mereka menjalani kehidupan masing-masing. Permainan ini ibarat memiliki sebuah akuarium manusia kecil untuk dimainkan. The Sims 4 ialah sebuah pengalaman permainan PC tanpa keganasan yang hebat, santai serta boleh membuatkan anda terus asyik dan leka.
Overcooked 2
Anda mungkin tidak menyangka yang permainan memasak boleh menjadi sesuatu yang mencabar, namun Overcooked 2 benar-benar memberikan cabaran. Tajuk indie kecil yang penuh aksi ini menyokong sehingga empat pemain untuk menyediakan bahan, memasak dan menghidangkan makanan dalam pelbagai situasi yang mencabar. Anda mungkin perlu menyiapkan pesanan yang sangat banyak sambil terhuyung-hayang di atas kapal lanun atau menyediakan hidangan sambil diserang raksasa gergasi. Walaupun Overcooked 2 kadangkala boleh menjadi agak sengit, permainan indie tanpa keganasan ini tetap bagus untuk dimainkan ketika bersantai bersama rakan.
Moving Out
Apa lagi yang lebih dewasa selain membantu rakan anda berpindah? Memindahkan perabot dalam kehidupan sebenar tidaklah seseronok seperti bermain Moving Out. Anda dan sehingga tiga rakan lain ditugaskan untuk menguruskan sebuah syarikat pindah yang perlu menangani pelbagai kerja luar biasa, sambil mengangkat perabot melalui pelbagai tahap mencabar. Moving Out ialah permainan tanpa keganasan yang ceria dan mengasyikkan yang mengubah aktiviti bosan kehidupan sebenar kepada cabaran digital yang menyeronokkan.
KeyWe
Mengendalikan pejabat pos agak mencabar walaupun di dalam dunia sebenar, namun jika anda ialah seekor burung kecil yang tak mampu terbang, tugasannya menjadi lebih epik. Itulah makna konsepnya di sebalik KeyWe. Anda bermain sebagai burung kiwi yang ditugaskan untuk menguruskan perkhidmatan pos yang pelik tetapi menghiburkan. Pemain melompat ke sana sini sambil menyelesaikan teka-teki dan menghantar bungkusan keluar. KeyWe ialah permainan teka-teki tanpa keganasan yang comel untuk golongan dewasa.
Untitled Goose Game
Untitled Goose Game ialah permainan teka-teki kasual yang lucu dan pasti mencuit hati mana-mana orang dewasa, sambil anda mencuri item daripada manusia dan berbunyi ang angsa pada segala yang anda lihat. Inilah cara terbaik untuk berehat selepas seharian bekerja dan ketawa bermain sebagai angsa yang paling menjengkelkan di dunia.
The Jackbox Naughty Pack
The Jackbox Naughty Pack dipenuhi dengan permainan berkumpulan yang memfokuskan kepada jenaka dewasa. Permainan ini menampilkan beberapa permainan mini paling popular daripada siri The Jackbox Party Pack —penuh dengan melukis, meneka, agakan dan persembahan—yang kini diberi sentuhan tema matang untuk keseronokan dewasa sahaja.
Planet Coaster 2
Simulasi taman tema juga boleh menjadi pilihan yang baik untuk hiburan permainan tanpa keganasan dan Planet Coaster 2 merupakan pilihan yang tepat. Bina dan kendalikan taman tema anda sendiri serta bina roller-coaster paling mengagumkan rekaan anda, gelongsor air dan banyak lagi permainan lain. Setelah siap membina permainan tarikan terulung, anda boleh menaikinya menerusi pandangan pertama. Planet Coaster 2 ialah permainan yang sangat sesuai untuk semua lapisan umur, terutamanya khas buat golongan dewasa untuk bersantai selepas seharian bekerja.
Cities: Skylines
Cities: Skylines ialah simulator pembinaan bandar yang mengasyikkan. Rancang, laksanakan dan urus segala-galanya dari bandar kecil hingga ke metropolis yang sesak. Sebagai datuk bandar, anda mengurus belanjawan, perancangan bandar dan pengangkutan. Lakukan dengan bijak dan anda akan mencipta infrastruktur terbaik untuk rakyat anda serta perniagaan juga dapat berkembang pesat. Anda boleh melihat bandar anda dari langit atau mengezum dekat untuk melihat individu ketika mereka berjalan di sekitar bandar.
House Flipper 2
Dalam kehidupan dewasa yang sebenar, tidak mudah untuk mengubah suai dan membentuk semula rumah, namun House Flipper 2 menjadikan proses tersebut menarik dan menyeronokkan dalam bentuk permainan. Anda memusnahkan dan mengemas serpihan, kemudian merombak dan menghias semula rumah dan menukarkan rumah tersebut menjadi wang tunai. Ini merupakan pilihan permainan tanpa keganasan untuk dewasa yang mungkin memberi anda beberapa idea untuk mencantikkan rumah sebenar anda.
Terokai pemilihan permainan tanpa keganasan Epic Games Store
Ini hanyalah sebahagian permainan tanpa keganasan yang terbaik untuk dimainkan oleh golongan dewasa. Ada banyak lagi permainan untuk diterokai dalam Epic Games Store. Pastikan anda meneroka semua kategori dan genre permainan kegemaran anda untuk menemui lebih banyak keseronokan. Pastikan anda melihat halaman berita Epic Games Store bagi mengikuti kemas kini terbaharu daripada semua pembangun kegemaran tentang semua permainan kegemaran anda.