
Permainan seram terbaik untuk PC yang boleh anda mainkan hari ini

Orang ramai sukakan kejutan yang mendebarkan. Ada yang gemar membaca novel Stephen King, ada yang suka filem pembunuh bersiri dan ramai juga yang menikmati permainan PC seram yang menyeramkan dan mendebarkan. Permainan seram merupakan antara judul paling popular setiap tahun, tetapi memilih titik permulaan untuk pengembaraan permainan video seram anda boleh jadi agak mencabar. Kami di sini untuk membantu.
Kami telah menyusun senarai permainan PC paling menyeramkan, menonjolkan beberapa permainan seram PC terbaik merentasi pelbagai subgenre yang berbeza. Bersedia untuk meremang bulu roma anda.
Apa yang membuat permainan menakutkan?
Terdapat pelbagai elemen berbeza yang boleh membuat pemain permainan video seram berasa seram sejuk. Permainan seram sangat pelbagai, dan dari semasa ke semasa, perbezaan dari segi mekanik permainan telah berkembang menjadi pelbagai gaya dan subgenre. Selalunya, anda akan menemui persekitaran yang gelap dan menyeramkan, disertai rasa tegang seolah-olah bahaya sedang menanti di setiap sudut. Beberapa permainan seram terbaik bergantung pada naratif yang mengganggu secara psikologi untuk menimbulkan rasa takut yang mendalam kepada pemain. Anda sendiri yang menentukan perkara yang menyeronokkan dan perkara yang menakutkan, dan senarai kami di bawah mempunyai sesuatu untuk semua orang.
11 Permainan PC Paling Menakutkan

Dying Light 2 Stay Human
Untuk terus hidup di dunia terbengkalai yang dipenuhi zombi memang sukar, dan permainan Dying Light 2 daripada pembangun Techland membuktikan kenyataan itu. Dalam pengembaraan dunia terbuka pandangan pertama ini, pemain mesti menggunakan kemahiran parkur mereka, digabungkan dengan pelbagai perangkap dan senjata ciptaan sendiri, untuk membantu manusia terus hidup. Apabila siang bertukar menjadi malam, gerombolan zombi menjadi lebih besar dan agresif, menghasilkan beberapa detik permainan apokalips zombi yang paling menyeramkan.

Call of Cthulhu
Berdasarkan permainan main peranan meja (tabletop role-playing game) yang diinspirasikan oleh H. P. Lovecraft dengan nama yang sama, Call of Cthulhu oleh pembangun Cyanide membawa pemain dalam perjalanan berasaskan naratif melalui dunia kengerian gelap dan dewa-dewa Eldritch. Sebagai Penyiasat Persendirian Pierce, anda meneroka Pulau Darkwater yang penuh misteri dan menyiasat pembunuhan keluarga Hawkins. Apabila anda menyelami lebih jauh ke dalam persekitaran misteri anda, anda akan perlahan-lahan kehilangan cengkaman anda terhadap realiti. Bolehkah anda menyelesaikan misteri itu sebelum kegilaan menguasai diri? Call of Cthulhu ialah gabungan yang sangat baik antara seram psikologi dan visual yang menyeksakan.

Outlast
Outlast oleh pembangun Red Barrels merupakan antara permainan seram survival PC yang paling menakutkan. Dengan memainkan watak wartawan Miles Upshur, anda menyiasat Rumah Sakit Mount Massive yang telah ditinggalkan. Anda mesti mengelak hantu dan raksasa sambil berusaha untuk terus hidup dan melarikan diri, hanya berbekalkan kepintaran dan sebuah kamera video. Outlast ialah permainan yang menguji keupayaan anda untuk berlari dan bersembunyi daripada makhluk mengerikan yang memburu anda sambil merungkai misteri yang terbongkar. Ia memberikan pengalaman yang amat menyeramkan.

Dead Space
Versi olahan semula 2023 bagi klasik seram fiksyen sains ini meletakkan pemain dalam sut angkasa Isaac Clarke, seorang jurutera yang terperangkap di atas kapal angkasa yang telah diceroboh makhluk mengerikan seperti zombi yang dikenali sebagai Necromorph. Dead Space oleh pembangun Motive Studio membekalkan anda dengan alat kuasa yang diubah menjadi senjata untuk menceraikan dan menewaskan Necromorph, sambil anda meneroka stesen angkasa, mencari cinta yang hilang dan cuba melarikan diri. Dead Space menggabungkan kesunyian dingin fiksyen sains angkasa lepas dengan elemen seram tubuh yang menjadikannya sebuah permainan video yang benar-benar menakutkan.

Until Dawn
Olahan semula Until Dawn oleh pembangun Ballistic Moon menyerupai sebuah filem seram interaktif. Walaupun anda berinteraksi dengan permainan melalui penerokaan dan usaha menyelamatkan watak-watak daripada menjadi mangsa pembunuhan, banyak detik paling mencemaskan dan menakutkan dalam permainan ini berpunca daripada pilihan naratif yang anda buat. Laluan bercabang dan pelbagai pengakhiran membolehkan anda menghayati naratifnya berulang kali dari sudut yang berbeza. Adakah anda mempunyai apa yang diperlukan untuk terus hidup Until Dawn?

Dead Island 2
Jika anda mencari permainan seram ko-op yang mantap, jangan pandang jauh selain Dead Island 2 oleh pembangun Deep Silver Dambuster Studios. Tiga pemain boleh bergabung tenaga untuk menembak dan membelasah gerombolan mayat hidup sambil berusaha untuk terus hidup dan melarikan diri dari Los Angeles yang telah dipenuhi zombi. Pemain bebas menjelajah bandar sambil menebas, memenggal, dan menembak pelbagai makhluk mengerikan. Salah satu elemen yang menjadikan Dead Island 2 pengalaman yang benar-benar kejam dan berdarah ialah sistem FLESH, yang membuatkan tubuh zombi bertindak balas secara realistik apabila anggota badan mereka ditebas atau kepala mereka diletupkan. Jika anda mahukan sesuatu yang menakutkan untuk dimainkan bersama rakan-rakan, Dead Island 2 menjanjikan pengalaman yang seram dan mengerikan.

Poppy Playtime
Menggabungkan elemen comel dan menyeramkan, Poppy Playtime oleh pembangun Mob Entertainment menempatkan anda dalam sebuah kilang yang dipenuhi mainan iblis. Pemain perlu menyelesaikan teka-teki persekitaran untuk bergerak dari satu kawasan ke kawasan lain, sambil dikejar oleh Poppy. Ia menghasilkan gabungan mendebarkan antara logik dan seram survival. Adakah anda mempunyai keberanian untuk terus hidup dalam salah satu permainan PC paling menyeramkan yang pernah wujud?

Alan Wake 2
Sambungan yang telah lama dinantikan oleh pembangun Remedy Entertainment tidak mengecewakan. Alan Wake 2 menggabungkan kisah seram yang menakjubkan dengan beberapa babak dramatik yang benar-benar sukar dilupakan. Dengan memainkan watak dua protagonis Alan Wake (seorang penulis) dan Saga Anderson (seorang ejen FBI), anda akan merungkai kisah gelap penuh misteri sambil menentang makhluk kegelapan. Ia sememangnya wajib dimainkan jika anda mencari permainan PC seram dengan jalan cerita yang mendalam.

Returnal
Returnal oleh pembangun Housemarque ialah permainan tembak-menembak roguelike yang menggabungkan fiksyen sains dan elemen seram dalam rentak yang pantas, menampilkan persekitaran serta makhluk yang benar-benar menyeramkan. Pemain memainkan watak Selene, seorang penjelajah angkasa yang terperangkap di sebuah planet asing. Setiap kali anda mati, anda akan kembali semula ke lokasi kapal terhempas anda. Semasa anda maju dalam permainan, anda akan membuka kemahiran baharu, merungkai misteri planet tersebut, memecahkan kitaran dan melarikan diri. Returnal ialah pengalaman yang mendebarkan dan kerap kali mengerikan—pilihan hebat untuk pemain yang gemarkan aksi pantas dalam permainan seram mereka.

Inscryption
Permainan roguelike bina dek bertema seram mungkin bukan genre yang besar, tetapi Inscryption oleh pembangun Daniel Mullins Games membuktikan bahawa permainan kad pun boleh menjadi menyeramkan dan memikat jika dibuat dengan tepat. Pemain menyertai permainan kad digital terkutuk dalam perjalanan gelap merentasi dunia yang sentiasa berubah, yang perlahan-lahan mendedahkan sifat sebenar dirinya. Inscryption menakutkan, sengaja mengganggu emosi dan penuh dengan keseronokan seram yang unik.

Dead by Daylight
Salah satu permainan seram berbilang pemain yang paling menarik juga merupakan antara yang paling menakutkan. Dead by Daylight mempertemukan empat orang yang terselamat dengan seorang pembunuh yang bersedia untuk menetak, menyembelih dan menggantung mereka pada cangkuk daging. Mereka yang terselamat mesti menyelinap, berlari, dan menggunakan persekitaran untuk melarikan diri dari kawasan pembunuhan. Anda boleh memilih untuk bekerjasama atau cuba melarikan diri seorang diri, meninggalkan yang lain kepada takdir yang mengerikan. Dead by Daylight menampilkan tahap yang dijana secara prosedur, jadi tiada satu sesi permainan pun yang akan sama. Ia juga kerap menambah watak berlesen daripada beberapa francais seram yang paling ikonik dan disayangi sepanjang masa.
Terokai tawaran permainan seram di Epic Games Store
Ini hanyalah permulaan bagi permainan seram PC yang tersedia di Epic Games Store. Semakin banyak permainan video seram ditambah dari masa ke masa, jadi pastikan anda terokai dan temui lebih banyak lagi. Pastikan anda melihat halaman berita Epic Games Store untuk mengikut kemas kini terbaharu daripada semua pembangun kegemaran anda tentang semua permainan kegemaran anda.