Berita

Cara memulakan penstriman permainan: Panduan menstrim secara langsung untuk pemula

E
Epic Games
18 Jul 2025

Penstriman permainan video telah menjadi satu bentuk hiburan yang terkenal, namun jika anda cuba menstrim permainan secara langsung daripada PC anda sendiri, permulaannya mungkin sukar buat anda, sama ada mencari perkakasan atau perisian yang betul atau memilih platform penstriman anda. 

Untuk membantu anda memulakan pengembaraan anda menjadi penstrim permainan video, kami telah menyediakan panduan ini tentang cara menstrim permainan secara langsung. Kami telah menyertakan segalanya yang anda perlukan untuk bermula dan mencari khalayak anda. 
 

Apakah itu penstriman permainan? Peringatan ringkas


Penstriman permainan adalah bermain satu permainan pada PC atau konsol anda sambil bersiar di platform penstriman pilihan anda. Ramai penstriman langsung juga menyertakan video bertindan (biasanya daripada kamera web) untuk menunjukkan diri mereka bermain dan memberikan reaksi terhadap permainan dan juga penonton mereka. 

Peminat, rakan dan orang tidak dikenali boleh menonton siaran itu dan menyaksikan secara pasif atau berinteraksi dengan penstrim melalui bilik sembang langsung.
 

Persediaan penstriman. Apakah yang anda perlukan untuk menstrim pada PC?


Untuk memulakan persediaan strim PC anda, anda memerlukan beberapa perkara. 

Pertama, anda perlu memiliki PC (desktop atau komputer riba) yang boleh menjalankan permainan sambil menjalankan perisian penyiaran pilihan anda. Kelengkapan tambahan seperti mikrofon dan kamera web berkualiti (jika anda ingin menstrim video anda secara langsung) juga menjadi standard. 

Kelengkapan tambahan (bagus jika ada) pilihan juga boleh membantu untuk meningkatkan kualiti penyiaran anda dan mewujudkan siaran yang lebih dinamik. Ini termasuk papan bunyi untuk menala campuran audio yang tepat antara bunyi permainan dengan ulasan anda, kamera tambahan, bahkan perkakasan yang menawarkan peningkatan strim dengan menekan satu butang sahaja. 

Sambungan Internet yang pantas dengan kelajuan muat naik yang mantap merupakan satu lagi faktor penting. Jalur lebar muat naik yang pantas memastikan penstriman anda dihantar pada resolusi tinggi tanpa kelewatan atau tersekat-sekat. Kelajuan muat turun juga penting, terutama sekali jika anda bermain permainan dalam talian. Ingat, sambungan Ethernet berwayar dari PC anda ke Internet lebih bagus berbanding Wi-Fi. 
 

Adakah anda memerlukan komputer yang berkuasa untuk penstriman?


Ini bergantung dengan perkara yang ingin distrim. Anda tidak perlu memiliki PC yang berkuasa, namun PC yang kurang berkuasa boleh mengehadkan pilihan anda. 

Jika anda ingin melakukan penstriman permainan PC berkuasa tinggi, anda memerlukan desktop atau komputer riba berprestasi tinggi yang boleh menjalankan permainan AAA intensif dari segi grafik sambil menjalankan perisian dan aksesori siaran penstriman seperti mikrofon serta kamera.

Secara umumnya, dengan PC yang lebih berkuasa, penstriman (serta penghasilannya) kelihatan lebih cantik, terutama sekali jika menghantar kadar bingkai dan resolusi yang lebih tinggi. 
 

Apakah kelajuan Internet yang anda perlukan untuk penstriman?


Jika anda ingin menstrim, kelajuan muat naik yang laju dan konsisten adalah penting. Kelajuan muat naik untuk sambungan jalur lebar biasanya diukur dalam Mbps atau megabit sesaat. 

Keperluan kelajuan muat naik anda bergantung pada resolusi dan kadar bingkai yang anda ingin gunakan untuk menyiarkan kandungan anda. Berikut ialah beberapa kombinasi yang biasa digunakan. 

  • Untuk resolusi 720p pada 30 fps, kelajuan muat naik biasa yang disyorkan ialah 3 Mbps ke atas. 
  • Untuk 720p pada 60 fps atau 1080p pada 30 fps, kelajuan yang disyorkan meningkat kepada 4.5 Mbps. 
  • Untuk 1080p pada 60 fps, kelajuan yang diperlukan ialah 6 Mbps.

Penstriman pada resolusi lebih tinggi boleh dilakukan dan mungkin memerlukan kelajuan jalur lebar muat naik melebihi 6 Mbps. Penonton biasanya memilih 720p atau 1080p, maka ini sasaran yang disyorkan. 

Jika anda ingin menstrim mana-mana permainan PC dengan ciri dalam talian, pastikan anda memiliki kelajuan muat turun yang pantas juga. Untuk sambungan yang paling kukuh dan kelajuan yang konsisten, gunakan sambungan Ethernet (pertimbangkan untuk menyambung terus ke penghala anda). Walaupun anda boleh menstrim menggunakan Wi-Fi, hasilnya boleh berubah-ubah. 
 

Cara menstrim daripada PC


Setelah anda memiliki kelengkapan siaran anda dan mengetahui sambungan Internet anda, langkah seterusnya adalah mempelajari proses sebenar penstriman daripada PC. 

Prosedur asas anda untuk penyediaan sebelum siaran dan penstriman sepatutnya lebih kurang seperti ini:

  1. Pilih platform penstriman anda.
  2. Cipta sebuah akaun pada platform pilihan anda.
  3. Pasang mana-mana permainan dan perisian penstriman.
  4. Konfigurasikan tetapan permainan dan siaran anda dalam perisian penstriman anda.
  5. Sediakan latar/sumber dalam perisian penstriman anda. 
  6. Tambahkan tindanan dan makluman pada latar/sumber perisian penstriman anda.
  7. Konfigurasikan input dan output audio perisian penstriman anda.
  8. Pratonton strim anda dalam perisian penstriman anda.
  9. Mulakan strim anda.
  10. Berinteraksi dengan penonton semasa bermain permainan.
  11. Tamatkan penstriman anda.
  12. Semak siaran anda dan catat nota tentang perkara yang boleh ditambah baik.

 

Memilih perkhidmatan penstriman yang betul


Terdapat beberapa perkhidmatan penstriman yang tersedia sebagai pilihan untuk penyiar baharu. Lakukan sedikit penyelidikan, pilih perkhidmatan yang memiliki reputasi yang sesuai dengan khalayak yang anda mahukan sambil menawarkan peluang untuk anda mengembangkan khalayak anda. 

Terdapat beberapa faktor yang perlu dipertimbangkan, termasuk:

  • Khalayak dan jangkauan platform
  • Tahap kemudahan untuk menggunakan platform dan membuat siaran
  • Kualiti penstriman pada platform
  • Pilihan pengewangan platform untuk pengguna baharu
  • Tahap penglibatan komuniti
  • Storan dan perkongsian kandungan
  • Hak cipta dan dasar kandungan
  • Tahap kebolehtemuan
  • Keserasian penyepaduan dengan perkhidmatan lain
  • Pilihan penstriman mudah alih
  • Peluang rangkaian yang boleh dihasilkan oleh platform untuk anda
  • Kualiti dan ketekalan sokongan teknikal yang ada
  • Pilihan penyesuaian yang ditawarkan
  • Kualiti dan maklum balas alatan analisis yang ditawarkan
  • Ketekalan dan kestabilan platform
  • Garis panduan komuniti, suasana dan sama ada perkara ini sesuai dengan anda dan khalayak sasaran anda

 

Memilih perisian penstriman yang sesuai


Memilih perisian penstriman yang sesuai untuk PC anda termasuk beberapa pertimbangan. Walaupun memilih perisian yang mudah digunakan ialah langkah pertama yang sangat jelas, lakukan sedikit penyelidikan untuk memastikan kestabilan dan kebolehpercayaan juga ditawarkan. Berikut ialah beberapa faktor untuk dipertimbangkan:

  • Tahap keserasian perisian penstriman itu dengan perisian permainan anda serta platform siaran
  • Sejauh mana perisian ini mudah digunakan
  • Pilihan kualiti penstriman
  • Bilangan pilihan pengekodan yang tersedia
  • Pilihan pengurusan latar dan sumber
  • Pilihan penyesuaian
  • Mana-mana pilihan penyepaduan dengan platform penstriman anda
  • Pilihan penyepaduan sembang penstriman
  • Pilihan kawalan audio
  • Impak prestasi terhadap perkakasan PC dan sambungan Internet anda
  • Pilihan rakaman setempat
  • Palam dan sambungan
  • Pilihan dan sokongan penstriman bebilang platform
  • Kekunci panas dan pintasan
  • Kestabilan dan kebolehpercayaan
  • Kemudahan dan keberkesanan sokongan pelanggan
  • Kemas kini perisian
  • Harga dan kos pelesenan
  • Sokongan komuniti dan tutorial yang tersedia
  • Sekuriti dan privasi

 

Adakah permainan penstriman boleh memberikan keuntungan?


Penstriman permainan PC boleh menguntungkan dan kebanyakan platform menawarkan bahagian hasil iklan untuk rakan kongsi serta peluang dari luar untuk perkembangan, bergantung pada populariti anda. 

Namun, bukan semua penstrim menyara kehidupan mereka melalui penstriman. Ini memerlukan usaha yang keras dan gigih serta kecekalan untuk mencipta impak dan memperoleh pendapatan sebagai penstrim. Akan tetapi, terdapat banyak manfaat lain dengan menjadi penstrim seperti peluang menemui komuniti baharu dan berhubung dengan orang yang menyukai permainan yang sama seperti anda.
 

Apakah permainan yang disyorkan untuk memulakan penstriman?


Pertimbangkan untuk bermula dengan permainan yang anda sukai. Sesetengah penstrim hanya bermain satu permainan atau genre pada siaran mereka, bukan kerana ini permainan kegemaran mereka, ini juga yang diminta oleh penonton mereka. Penonton penstrim lain cenderung untuk menonton permainan terbaharu atau yang paling popular atau kerana mereka peminat penstrim itu. 

Fortnite dan Fall Guys ialah pilihan popular untuk kebanyakan penstrim yang menyukai permainan dalam talian yang berdaya saing dan menstrim bersama sekumpulan rakan. MMO sesuai dengan kategori permintaan yang sama. Jika anda menggemari kempen pemain perseorangan atau pengalaman naratif, permainan seperti Cyberpunk 2077 atau Red Dead Redemption 2 merupakan pilihan yang mantap. Permainan Indie seperti Celeste dan Hades ialah pilihan popular untuk penstrim yang menumpukan kepelbagaian dan bermain secepat mungkin. 

Keseimbangan antara minat peribadi anda dan populariti permainan adalah penting apabila memilih permainan yang ingin anda strim. Jika anda tidak menikmati sesuatu permainan atau menstrim hanya kerana permainan ini menjadi topik hangat pada masa itu, penonton anda mungkin dapat perasan dan ini boleh menjejaskan trafik dan interaksi anda. 
 

Petua lain yang berguna untuk penstrim baharu


Apabila anda mula-mula menstrim, jangan bersangka bahawa semuanya berjalan lancar. Ada beberapa perkara yang perlu diingat tentang perkara yang akan mewujudkan suasana yang seronok antara anda dan khalayak anda serta membantu anda di sepanjang pengalaman ini. 

Cara mempamerkan diri anda

Bolehkah anda tidak menunjukkan wajah? Patutkah anda memiliki persona? Pertimbangkan keselesaan anda di hadapan penonton. Bukan semua penstrim mempunyai kamera web. Ada yang menggunakan persona atau menggunakan perisian Vtuber untuk mengekalkan privasi peribadi. Jika anda tidak mahu menunjukkan diri anda di hadapan kamera, hal ini tidak menjadi masalah asalkan personaliti anda menyerlah walaupun tiada orang dapat melihat anda. 

Pilihan untuk menjadi diri anda atau memakai persona dalam talian ialah hak peribadi. Tidak kira apa pun pilihan anda, anda perlu ingat bahawa proses untuk menjadi lebih baik akan memakan masa sehingga benar-benar selesa berinteraksi dengan khalayak dalam talian. 

Cara melindungi diri anda

Privasi peribadi anda ialah perkara yang perlu sentiasa diingat semasa anda menstrim. Pastikan anda melindungi diri anda. Jangan berkongsi maklumat peribadi secara melampau seperti alamat rumah anda. Anda boleh menggunakan nama samaran jika anda tidak selesa menggunakan nama sebenar. Selain itu, moderator dan bot mod ialah cara yang bagus untuk menghalau pengganggu dan pembuli daripada komuniti anda. 

Cara menambah baik rupa penstriman anda

Anda patut sentiasa mencari cara untuk menambah baik penstriman dan persembahan anda. Membuat bingkai tersuai untuk strim anda, latar belakang untuk halaman utama anda dan emote tersuai ialah cara yang bagus untuk menonjolkan lagi diri anda dan mewujudkan keunikan yang tersendiri. 

Terdapat beberapa cara meningkatkan proses penstriman untuk anda dan juga penonton, seperti meletakkan tindanan ruang sembang anda pada siaran anda atau memainkan bunyi dan memaparkan animasi timbul apabila sesiapa menderma. Bukan semua pilihan ini sesuai dengan anda. Selaraskan pilihan anda dengan personaliti saluran anda. 

Cara mengembangkan bilangan penonton anda

Fikir cara mengembangkan khalayak anda secara semula jadi dan organik untuk anda. 

Buat acara istimewa seperti sub-a-thon atau siaran bertema yang boleh menjadi cara yang bagus untuk membelanja penonton anda sambil menjangkau penonton baharu. Anda juga boleh menumpukan untuk menjadi sebahagian daripada komuniti permainan kegemaran anda. Pertimbangkan untuk mencari penstrim yang anda mahu bekerjasama untuk acara rentas penstriman.

Walaupun banyak masa dan usaha yang diperlukan untuk menjalankan saluran penstriman yang berjaya, anda perlu bersabar, pastikan anda juga berseronok dalam perjalanan itu.
 

Main permainan dan mulakan penstriman


Sekarang anda memiliki alatan dan pengetahuan yang diperlukan untuk menjadi penstrim, sudah tiba masanya untuk keluar dan memulakan siaran ke serata dunia! Jika anda mencari permainan yang sesuai untuk strim anda terdapat banyak pilihan untuk anda pilih daripada Epic Games Store. Dengan panduan dan bimbingan kami ini, semoga anda akan sedia dan bersiaran tidak lama lagi. Pastikan anda melihat halaman berita Epic Games Store untuk mengikut kemas kini terbaharu daripada semua pembangun kegemaran anda tentang semua permainan kegemaran anda.