
Cara mengemas kini pemacu pada PC

Jika anda pernah membina PC baharu atau meningkatkan mana-mana perkakasan PC, mungkin anda juga perlu memasang pemacu yang betul untuk memastikan mesin berjalan dengan lancar. Pemacu ialah bahagian perisian yang penting untuk memastikan sistem pengendalian anda dan perkakasan bekerjasama. Namun, ini bermakna pemacu boleh menyebabkan masalah jika ia sudah lapuk atau tidak serasi dengan sesetengah komponen atau perisian PC anda yang lain.
Dalam panduan pemacu PC ini, kami akan mengajar anda segala-galanya yang perlu anda tahu tentang pemacu. Kami akan bermula dengan menerangkan definisi pemacu dan akan menunjukkan pelbagai kaedah kepada anda untuk memastikan pemacu anda kekal dikemas kini. Kami juga akan menjelaskan sesetengah masalah lazim yang mungkin anda hadapi ketika cuba memastikan pemacu anda dikemas kini dan PC berjalan dengan lancar. Kami juga akan membantu anda menjalani proses penyelesaian masalah.
Apakah itu pemacu pada PC?
Pemacu ialah perisian untuk perkakasan PC anda. Pemacu bertindak sebagai penghubung antara peranti fizikal seperti GPU dan sistem pengendalian seperti Windows. Pemacu menterjemahkan perintah dan memastikan segalanya berfungsi dengan lancar bersama-sama. Jika anda tidak memiliki pemacu yang betul, perkakasan anda mungkin tidak berfungsi dengan baik (atau tidak berfungsi langsung) kerana sistem pengendalian tidak tahu cara berkomunikasi dengan perkakasan tersebut.
Apakah tugas pemacu dan mengapakah pemacu ini penting?
Memastikan pemacu anda kekal dikemas kini boleh membantu PC anda berjalan dengan lancar serta meningkatkan keserasian, prestasi dan kestabilan.
Jika sistem pengendalian ialah bos bagi PC anda, maka pemacu ialah pekerjanya. Pekerja yang bagus bertindak dengan tahap kebebasan tertentu, yang meringankan jadual bos. Contohnya, apabila anda mencetak sesuatu, sistem pengendalian menyerahkan tugasan itu kepada pemacu pencetak, yang menterjemahkan dokumen anda kepada perintah yang difahami pencetak itu. Bos menyerahkan tugasan, mempercayai pekerja akan melaksanakan tugasan berat itu. Tidak perlu pemantauan.
Memastikan pemacu anda kekal dikemas kini juga boleh meningkatkan prestasi, membetulkan pepijat, ralat pengekodan dan masalah teknikal lain melalui keluaran kemas kini dari semasa ke semasa. Mengemas kini pemacu PC juga boleh menjadikan segala proses berjalan lebih lancar, dalam sesetengah kes, hal ini dapat meningkatkan keserasian dan prestasi perkakasan dan perisian.
Tanda-tanda anda perlu menaikkan taraf pemacu
Jika anda memiliki masalah teknikal dengan PC anda, mengemas kini pemacu anda mungkin tindakan yang bagus sebagai permulaan bagi proses penyelesaian masalah anda. Berikut ialah tanda-tanda pemacu anda mungkin sudah lapuk.
- Jika perkakasan anda tidak berfungsi langsung
- Jika sistem anda kurang lancar
- Jika PC anda tersekat atau mengalami ranap sistem
- Jika program tertentu membeku semasa anda cuba melancarkannya
- Jika anda mendapat "Blue Screen of Death" atau BSOD Windows yang digeruni
- Jika anda menerima mesej ralat sistem semasa cuba menggunakan perkakasan tertentu
- Jika anda mengalami gangguan visual

Cara untuk mengetahui sama pemacu PC itu versi yang terkini atau tidak
Jika anda tidak pasti bahawa versi pemacu terkini telah dipasang atau tidak, terdapat beberapa langkah mudah untuk membuat semakan.
Salah satu cara adalah dengan menggunakan perisian proprietari yang mungkin anda telah pasang. Pengilang komponen seperti GPU, papan kekunci, tetikus dan papan induk sering memiliki perisian yang boleh menyemak kemas kini pemacu dan memastikan segalanya berjalan dengan baik. Dalam banyak kes, anda juga boleh meminta perisian mencari kemas kini dan memasang pemacu terkini secara automatik.
Pada PC, ciri Kemas Kini Windows terbina dalam juga boleh mencari, memuat turun dan memasang pemacu tertentu yang disyorkan.
Anda juga boleh menggunakan Pengurus Peranti Windows untuk melihat maklumat pemacu semasa bagi semua peranti dan perkakasan yang disambungkan. Klik kanan pada peranti dan klik “Properties” dalam menu yang tertera. Tab Pemacu dalam tetingkap yang dibuka memberi anda akses kepada butiran yang berkenaan.
Cara mengemas kini pemacu pada PC
Untuk mengemas kini pemacu PC anda, anda boleh menggunakan perisian proprietari yang disebut di atas. Contohnya, pengilang GPU iaitu AMD dan Nvidia memiliki perisian yang direka khusus untuk mencari dan memasang pemacu bagi perkakasan dalam PC anda.
Anda juga boleh mengemas kini pemacu menggunakan Device Manager Windows pada tab Pemacu yang disebut di atas.
Pilihan lain adalah dengan menyemak laman web pengilang peranti, yang lazimnya menyediakan pemacu untuk dimuat turun oleh pengguna, versi lama dan juga baharu.
Kemas kini pemacu menggunakan Windows
Jika anda ingin menggunakan Windows untuk memasang pemacu anda, terdapat dua cara yang mudah untuk melakukan sedemikian.
Menggunakan Kemas Kini Windows
- Gunakan pintasan papan kekunci Win + I atau cari Tetapan pada Menu Start dan pilih hasil carian.
- Klik Kemas Kini & Sekuriti.
- Klik Kemas Kini Windows.
- Klik Semak kemas kini.
- Selepas Windows selesai menyemak kemas kini, klik Muat turun dan pasang.
Kemas kini pemacu menggunakan Device Manager
- Gunakan pintasan papan kekunci Win + X atau cari Device Manager pada Menu Start dan pilih hasil carian.
- Pilih kategori peranti yang mengandungi perkakasan anda (kamera, papan kekunci, monitor, dsb.).
- Klik kanan pada peranti yang ingin anda kemas kini, kemudian klik Kemas kini pemacu pada menu yang tertera.
- Dalam tetingkap baharu yang dibuka, anda boleh meminta PC anda mencari kemas kini pemacu.
Kemas kini pemacu secara manual
Jika anda ingin memuat turun dan mengemas kini pemacu anda secara manual, proses ini juga serupa.
Menggunakan Kemas Kini Windows
- Gunakan pintasan papan kekunci Win + I atau cari Kemas Kini Windows pada Menu Start dan pilih hasil carian.
- Klik Semak kemas kini.
- Setelah Windows selesai menyemak kemas kini, klik Pilihan lanjutan.
- Klik Kemas kini pilihan.
- Pilih pemacu yang ingin anda pasangkan, kemudian klik butang Muat turun dan pasang.
Kemas kini pemacu menggunakan Device Manager
- Gunakan pintasan papan kekunci Win + X atau cari Device Manager pada Menu Start dan pilih hasil carian.
- Pilih kategori peranti yang mengandungi perkakasan anda (kamera, papan kekunci, monitor, dsb.).
- Klik kanan pada peranti yang ingin anda kemas kini, kemudian pilih Kemas kini pemacu.
- Jika anda sudah memuat turun pemacu baharu, pilih Semak imbas komputer saya untuk mencari pemacu.
- Cari dan pilih fail itu untuk memasang pemacu anda.
Muat turun pemacu daripada laman pengilang
Laman web rasmi syarikat yang menghasilkan peranti anda biasanya menyediakan pemacu untuk dimuat turun. Pastikan anda hanya memuat turun perisian daripada laman yang dipercayai. Pastikan laman itu ialah laman rasmi syarikat sebelum cuba memasang mana-mana pemacu baharu.
- Semak buatan dan model peranti anda atau nama perisian yang memerlukan pemacu atau kemas kini. Anda boleh membuat sedemikian dengan menekan Win + X atau mencari Device Manager pada Menu Start dan mengklik hasil carian.
- Dalam Device Manager, pilih kategori peranti yang mengandungi perkakasan anda (kamera, papan kekunci, monitor, dsb.).
- Klik kanan peranti yang anda mahukan untuk mengemas kini pemacu baharu anda.
- Dalam menu yang dibuka, pilih Properties.
- Dalam tetingkap yang dibuka, klik tab Butiran.
- Dalam menu lungsur Ciri, serlahkan ID Perkakasan dan catat butiran itu.
- Cari ID perkakasan itu dalam talian atau gunakan laman web syarikat berkenaan untuk mencari pemacu yang betul.
- Muat turun pemacu yang betul. (Folder Downloads anda merupakan tempat yang sesuai untuk menyimpan fail ini untuk sementara waktu.)
- Cari pemacu yang dimuat turun pada komputer anda.
- Klik dua kali pada fail pemacu untuk memasang atau mengemas kini pemacu anda.
Gunakan alat kemas kini pemacu automatik
Bilangan alatan perisian pihak ketiga boleh membantu untuk memastikan sistem anda kekal terkini dengan pemacu terkini. Program ini mengimbas sistem anda untuk mencari pemacu dan mengurus semua kemas kini bagi pihak anda.
Sila ingat bahawa program ini tidak berkaitan dengan pengilang perkakasan. Terdapat risiko yang anda mungkin termuat turun perisian hasad semasa memilih alat kemas kini pemacu automatik. Luangkan beberapa minit untuk membuat kajian Internet ringkas bagi memastikan sama ada program yang anda pertimbangkan dan laman yang anda akan muat turun adalah sah atau tidak sah.
Kebanyakan pengguna sudi menulis pengalaman mereka dan anda dapat membuat keputusan termaklum tentang reputasi perisian menggunakan pengetahuan yang tersedia secara bebas.

Isu lazim berkaitan dengan kemas kini pemacu
Kadangkala, anda mungkin menghadapi masalah apabila memasang dan mengemas kini pemacu. Pelbagai sebab yang mungkin, namun terdapat beberapa isu lazim yang patut anda ketahui. Kami akan membantu anda memahami dan menyelesaikan masalah lazim tersebut dalam bahagian seterusnya.
Kegagalan pemasangan dan isu kebenaran
Sesetengah masalah lazim yang mungkin anda hadapi semasa memasang pemacu baharu termasuklah yang berikut:
- Anda mungkin memiliki muat turun yang telah rosak.
- Pemacu yang salah dimuat turun.
- Tiada ruang cakera yang mencukupi untuk memasang pemacu.
- Perisian memiliki isu kebenaran.
Mujurlah, terdapat beberapa perkara yang boleh anda cuba jika anda menghadapi masalah seperti ini. Jika anda meragui mana-mana bahagian di bawah, carian Internet yang ringkas boleh membawa anda kepada laman sokongan dalam talian percuma Microsoft, yang akan membantu anda melakukan langkah-langkah yang diperlukan, contohnya, mengosongkan ruang cakera anda.
- Semak sekali lagi bahawa anda telah memuat turun pemacu yang betul.
- Muat turun semula pemacu jika anda mengesyaki bahawa fail itu telah rosak. (Lihat bahagian di atas yang dipanggil “Muat turun pemacu daripada laman pengilang.”)
- Kosongkan ruang pada cakera anda dengan memadamkan fail lama dan yang tidak diperlukan. Windows memiliki alatan terbina dalam sebagai bantuan dan laman sokongan Microsoft akan membimbing anda tentang penggunaannya.
- Cuba pasang pemacu sebagai pentadbir.
- Cuba pasang pemacu dalam Mod Selamat. Laman sokongan Microsoft akan menunjukkan caranya kepada anda.
- Semak tetapan sekuriti dan perlindungan antivirus untuk memastikan ini tidak menghalang pemasangan perisian tersebut.
Konflik dengan perisian sedia ada dan isu keserasian
Kadangkala, jika anda kekal memastikan PC anda berjalan dengan lancar dan semua pemacu anda dikemas kini, anda masih boleh menghadapi isu keserasian. PC ialah mesin yang rumit dan tampalan serta pemacu baharu boleh mewujudkan konflik dengan komponen lain. Berikut ialah beberapa senario lazim yang patut anda ketahui.
- Pemacu anda telah menjadi rosak.
- Dua pemacu atau lebih tidak serasi antara satu sama lain.
- Kemas kini Windows telah menulis ganti tetapan pemacu tersuai anda.
- Perisian pihak ketiga menyebabkan gangguan.
Anda perlu sentiasa memastikan sebarang perkakasan yang anda beli adalah serasi dengan PC semasa anda. Contohnya, pastikan kad grafik (GPU) baharu anda serasi dengan papan induk anda.
Jika anda mengalami masalah ini atau yang serupa, berikut ialah beberapa langkah penyelesaian masalah yang mungkin dapat memulihkan PC anda. Seperti yang kami nyatakan di atas, carian Internet yang ringkas boleh membawa anda kepada laman sokongan dalam talian percuma Microsoft, yang akan membimbing anda menerusi langkah-langkah yang diperlukan, contohnya, mencari perisian yang tidak serasi atau memulakan PC anda dalam mod Clean Boot.
- Padamkan sebarang pemacu yang lapuk atau telah rosak.
- Padamkan sebarang perisian yang tidak serasi.
- Cuba jalankan PC anda dalam Mod Clean Boot.
- Sahkan bahawa pemacu anda serasi dengan sistem pengendalian anda.
- Semak sekali lagi untuk sebarang kemas kini.
- Semak mesej ralat, buat penyelidikan tentang penemuan anda.
- Pastikan PC anda memenuhi keperluan sistem minimum untuk perisian dan perkakasan.
- Cuba jalankan perisian dalam Mod Keserasian.
- Rujuk forum dalam talian untuk mendapatkan bantuan atau bimbingan.
- Hubungi pengilang perkakasan untuk mendapatkan bantuan.
Terokai lagi daripada Epic Games
Kini anda sudah memahami tentang pemacu, kefungsian pemacu dan tindakan yang boleh anda lakukan untuk mengemas kini pemacu dan memastikan PC anda berjalan lancar, sudah tiba masanya untuk mengetahui lebih lanjut tentang cara memastikan PC anda dalam keadaan terbaik. Anda boleh mengetahui lebih lanjut tentang mengekalkan PC permainan anda dan memastikan PC ini sihat di sini pada Epic Games Store. Kami memiliki banyak artikel yang memberi anda lebih banyak maklumat dan cerapan tentang perkakasan dan penyelenggaraan PC, seperti permainan untuk dimainkan pada PC. Pastikan anda membaca artikel tersebut.