
Artikel
Toxic Commando Karya John Carpenter Mungkin Jadi Permainan Zombi Kegemaran Anda Seterusnya
A
Alyssa Mercante
Sesi uji main selama sejam itu hampir terlalu singkat untuk benar-benar menggambarkan betapa banyak yang terdapat dalam Toxic Commando, yang menggunakan Swarm Engine proprietari Saber untuk kawanan musuh yang besar-besaran (enjin ini dibangunkan untuk WWZ, dan baru-baru ini digunakan dalam Warhammer 40K: Space Marine 2). Musuh bergerak dan bertindak dalam kawanan, tetapi individu boleh berpisah dan bertindak bebas daripada kumpulan, menghasilkan kekacauan yang menyeronokkan.
Semasa ujian main, kami masuk sebagai pasukan empat orang, masing-masing sebagai salah seorang Toxic Commando, sebuah kumpulan yang mewakili usaha terakhir untuk menyelamatkan umat manusia selepas sebuah eksperimen sains gagal dan merosakkan tanah, mengakibatkan majoriti penduduk bertukar menjadi zombi. Kesemua Commando telah dijangkiti virus, tetapi saintis sama yang menyebabkan kekacauan ini berjaya menghalangnya daripada merebak, jadi mereka boleh menggunakan kuasa luar biasa di medan pertempuran, termasuk kuasa yang membantu mereka meletupkan gerombolan zombi yang bertebaran. Mereka bukanlah orang yang terbaik untuk tugasan tersebu, tetapi mereka seakan satu-satunya yang sesuai untuk melakukannya. Humor, muzik luar biasa dan suasana keseluruhannya sememangnya karya John Carpenter.
Saya memilih untuk bermain sebagai ahli perubatan, yang berkebolehan menyembuh pemain di sekitarnya dan bahkan bangkit semula apabila tumbang bersendirian. Dia terbukti amat berharga, apabila rakan sepasukan dan saya segera menyedari bahawa Toxic Commando menyerang anda dengan banyak musuh, kebolehan saya untuk menyembuh menjadi satu-satunya perkara yang memastikan kami terus bertahan.
Kelas lain dalam Toxic Commando, yang tidak diberi nama secara jelas semasa sesi uji main kami, termasuk sejenis jurutera yang boleh menghantar dron untuk mengikuti kami, menembak musuh dalam jarak, dan satu watak jenis pelindung yang boleh meletakkan dron untuk memancarkan peluru dan merosakkan mana-mana musuh yang melaluinya. Kelas terakhir kelihatan fokus kepada penghasilan kerosakan, kerana kebolehannya menembak bola api dan membawa lebih banyak grenad berbanding yang lain.
Tidak sempat untuk kami menyerap sebarang maklumat ini, oleh kerana ujian main kami terus melemparkan kami ke tengah-tengah peta besar yang dipenuhi dengan kumpulan musuh, sumber dan kenderaan. Ini ialah salah satu daripada lapan misi yang akan dilancarkan bersama permainan, dan ya, anda boleh memandu kenderaan dalam Toxic Commando. Anda memang akan memerlukan itu. Kenderaan mempunyai pelbagai kebolehan, termasuk satu yang dilengkapi win untuk membuka peti sumber atau menunda kereta yang lumpuh dan sebuah ambulans yang memancarkan kesan penyembuhan AoE untuk membantu mengekalkan pasukan semasa mereka diserbu musuh.
Saya segera menyedari bahawa Toxic Commando agak kedekut dengan sumbernya, mengutamakan kerjasama dalam skuad daripada memberikan setiap pemain alatan untuk meratakan sejumlah musuh yang besar. Permainan ini menampilkan mata wang yang dipanggil “spare parts” (alat ganti), yang membolehkan anda membeli senjata lebih baik serta menaik taraf atau membaiki item kawalan kumpulan yang penting. Sepanjang keseluruhan sesi permainan kami, saya hanya menerima satu spare part, yang saya gunakan di peringkat akhir peta untuk membuka mortar statik semasa kami sedang melindungi sebuah gereja daripada gerombolan musuh yang besar.

Memandangkan pemainan ini tidak memberikan spare parts dengan mudah, Toxic Commando menugaskan anda untuk menguruskan bekalan peluru dengan bijak dan memastikan anda bekerjasama sebagai sebuah pasukan. Peta terbuka luas yang dipenuhi dengan bahaya ini boleh memperlahankan pergerakan atau mengurangkan nyawa anda, dan ada beberapa kali semasa sesi kami, terdapat seorang pemain tersasar dan akhirnya memohon pertolongan beberapa saat kemudian.
Matlamat kami ialah mencari dan memusnahkan beberapa “nod” zombi di dalam peta ini, dan nod pertama membawa kami ke sudut paling jauh dari lokasi kami muncul. Tiada kenderaan dalam perjalanan ke lokasi pertama, jadi kami berjalan kaki, menentang kumpulan zombi di sepanjang jalan. Senapang serangan dan pistol saya terasa hebat untuk digunakan, tajam dan reaktif, tetapi masih berat. Bet besbol berpaku boleh digunakan untuk menyerang musuh dari dekat dan keseronokannya memang tidak dapat digambarkan.
Kami sampai ke nod pertama dengan cepat, dan saya tertanya-tanya sama ada ini akan menjadi lebih mudah daripada yang dijangka. Tetapi nod itu memerlukan kami menghidupkan generator untuk mengaksesnya dan generator itu pula memerlukan minyak. Konsepnya mudah: cari bekas minyak, isi tangki generator dan mengengkolnya untuk hidup, tetapi tindakan kami menarik perhatian gerombolan besar dan keadaan mula menjadi sukar dikawal. Seorang pemain tumbang semasa kami berjuang untuk sampai ke nod, tetapi apabila kami semua hampir mengalami nasib yang sama, saya menggunakan kebolehan penyembuhan dan memastikan kami terus bertahan untuk menamatkan pertempuran.
Nod berjaya dimusnahkan dan rakan sepasukan dibangkitkan, kami menuju ke nod seterusnya, yang terletak di atas bukit dan memerlukan anda untuk mendaki secara ke kiri dan ke kanan untuk sampai ke puncak. Rakan sepasukan sedang ketinggalan di belakang, sedikit keliru tentang cara untuk sampai ke nod dan saya pula terus melulu maju ke hadapan. Toxic Commando segera mengingatkan saya bahawa itu idea yang buruk, mengerumuni saya dengan zombi sambil bersih hempas-pulas melalui kawasan berlumpur. Kebolehan penyembuhan memastikan saya terus hidup walaupun hampir-hampir tumbang dan saya kembali kepada pasukan dengan rasa malu.

Kami memusnahkan nod seterusnya bersama-sama, seperti yang sepatutnya. Kemudian, rakan sepasukan saya terperasan ada ikon lori di dalam peta dan bergegas ke sana untuk mengambil lori itu. Saya mendengar dia sedikit panik melalui fon kepala ketika mula dikelilingi musuh, tetapi nasib baik, dia berjaya sampai ke lori dan memecut keluar dari sana, sambil menjemput kami sepanjang perjalanan.
Gereja menjadi pertahanan terakhir kami, satu pertembungan panjang yang memaksa kami menjaga pelbagai pintu masuk daripada sejumlah musuh yang hampir tidak masuk akal banyaknya. Ada yang memanjat dinding dan meluru melalui kawasan terbuka dengan kelajuan menakutkan. Mortar yang saya buka cuma berguna pada separuh masa pertama pertempuran, kerana pada separuh masa kedua semua musuh sudah jauh dari jangkauan. Skrin saya dipenuhi dengan mayat zombi bergelimpangan, letupan, ikon amaran tentang musuh kuat dan pelbagai kekacauan lain. Saya terasa tertekan, tetapi sekali lagi saya menggunakan kebolehan penyembuhan tepat pada masanya, memberi pasukan dorongan tambahan untuk mengharungi serangan bertalu-talu ini.

Pemasa misi tamat dan satu EMP besar merebak ke seluruh kawasan, menyingkirkan seluruh gerombolan sekali gus. Kami berempat melepaskan nafas lega serentak.
Toxic Commando karya John Carpenter sesuai untuk peminat penembak kacau-bilau, mod ramai pemain dan permainan zombi seperti WWZ dan Left 4 Dead. Dengan kerjasama empat pemain dan rentas main antara PS5, Xbox Series X/S, Steam dan Epic Games Store, ia menggalakkan anda menyertai pertempuran bersama rakan—dan terus berada di belakang mereka supaya anda tidak menjadi pembuka selera zombi. Toxic Commando dijadualkan untuk dilancarkan pada awal tahun depan.
