
Berita
LEGO Batman: Legacy of the Dark Knight memberikan penghormatan kepada sejarah ikonik wira itu.
G
George Yang
“Saya rasa amat teruja kerana dibandingkan,” kata Pengarah Sinematik TT Games, Bob Scott. “Kami suka permainan Arkham.”
Cinta itu terlihat dalam permainan ini. Malah, LEGO Batman: Legacy of the Dark Knight mencipta semula adegan ikonik dalam Batman: Arkham Asylum ketika Batman membawa Joker ke institusi mental dalam keadaan diikat pada usungan—dan banyak lagi, merangkumi sejarah Batman berdekad-dekad.
Menghormati siri yang terdahulu
LEGO Batman: Legacy of the Dark Knight memberikan penghormatan kepada pelbagai era Batman merentasi pelbagai bentuk media. “Kami mendasarkan keseluruhan level pada Arkham kerana ia merupakan IP Batman yang ikonik dan setanding dengan filem dan siri,” kata Scott.
Anda boleh menjangkakan untuk melihat banyak IP Batman itu dipaparkan dalam LEGO Batman: Legacy of the Dark Knight. Walaupun Scott tidak mahu mendedahkan segala-galanya, dia menyebut bahawa pasukan itu diinspirasikan oleh detik-detik seperti kejar-mengejar Tumbler dalam Batman Begins, pertarungan Ace Chemicals dalam Batman: Arkham Knight, dan komik Red Hood Year One.
“Trilogi Dark Knight, kami gunakan itu sebagai tulang belakang cerita. Kemudian kami cuba membawa masuk IP Batman yang kami sukai. “Jadi, anda ada Arkham, Animated Series, Batman Forever, Batman & Robin, dan The Dark Knight Returns,” sambung Scott. “Orang yang menulisnya ingin melihat perkara yang paling mereka sukai di dalamnya.”
Oleh kerana Batman telah merentasi pelbagai medium dan gaya seni yang berbeza, lesen LEGO sebenarnya membolehkan LEGO Batman: Legacy of the Dark Knight mempunyai rupa yang lebih seragam. “Lapisan LEGO pada segala-galanya sebenarnya membantu menggabungkan semua era dan iterasi Batman yang berbeza,” jelas Scott. “Ia juga membolehkan kami menceritakan sesuatu yang gelap dengan cara yang jauh lebih lucu kerana ia berwarna-warni dan plastik dan kami cuba menyerlahkan perkara itu.”

Sepanjang dua jam saya mencuba permainan ini, saya dapat merasakan dengan jelas bahawa permainan ini mempunyai suasana yang jauh lebih santai berbanding permainan yang lebih serius seperti Gotham Knights. Tahap pertama yang saya mainkan bertempat di Iceberg Lounge, sebuah kelab bawah tanah yang diuruskan oleh The Penguin. Ketika saya bertarung menentang gerombolan konco-konconya bersama Batman dan Commissioner Gordan, saya menemui istana ambul yang dipenuhi bola angin dan malah menyertai pertandingan menari yang bersaing dengan pengunjung parti yang lain.
Tahap kedua yang saya mainkan ialah Haly’s Circus, yang memperkenalkan budak yang menakjubkan, Robin. Di sini, dia melontarkan banyak jenaka kata yang membuat Batman mengerang dengan jelas. Ini perubahan nada yang ketara daripadaa kebiasaan yang anda jangkakan daripada francais Batman, tetapi ia dialu-alukan dan membantu LEGO Batman menyerlah daripada versi lain.
Satu lagi aspek yang membezakan LEGO Batman ialah pendekatan terhadap suara garaunya yang tersendiri. Pelakon suara Shai Matheson membawakan watak hero dalam LEGO Batman: Legacy of the Dark Knight. Scott berkata bahawa “kami mengambil masa yang sangat lama untuk mencari Shai” kerana Batman lazimnya digambarkan sebagai lebih tua dan lebih mapan sejak awal lagi, tetapi pelakon suara untuk LEGO Batman: Legacy of the Dark Knight juga memerlukan kebolehan komedi agar sesuai dengan nada permainan.
“Kami perlu mencari seseorang yang boleh melakonkan watak muda dan kemudian berkembang menjadi suara yang lebih matang,” jelas Scott. “Apabila Shai bermula, suaranya jauh lebih muda, dan semakin lama, suaranya menjadi sedikit lebih serak sehingga pada akhirnya dia kedengaran jauh lebih seperti Batman klasik.”
Kilauan LEGO
Dalam LEGO Batman: Legacy of the Dark Knight, anda akan menerokai Gotham dunia terbuka yang diperbuat daripada LEGO. Semasa mereka bentuk Gotham, terdapat beberapa nuansa tertentu yang menjadikannya menarik untuk dihasilkan berbanding dengan dunia terbuka dengan arahan seni yang lebih realistik.
“Banyak helah bijak digunakan dalam reka bentuk. “Jika anda melihat siluet, anda akan nampak bukan LEGO, tetapi garisan luar LEGO, dan pasukan itu menggunakan bentuk dan rupa untuk membina bangunan,” jelas Scott. “Ada LEGO disepadukan ke dalam semua binaan batu-bata. Jadi, ia jauh lebih rumit kerana anda mempunyai peraturan dan dimensi yang ketat ini. Anda perlu menggunakan itu sebagai templat untuk bandar, tetapi masih kekalkan rupa bandar seperti Gotham.

Gotham juga mempunyai banyak aktiviti sampingan untuk dilakukan, termasuk teka-teki yang ditinggalkan oleh Riddler (satu lagi rujukan nakal kepada siri Arkham) dan percubaan masa yang memerlukan anda berlumba menggunakan motosikal Robin untuk memandu melalui gelung bagi mengalahkan masa. Estetika LEGO membantu elemen-elemen yang lebih berunsur permainan ini sesuai dengan dunia LEGO Batman: Legacy of the Dark Knight, yang mungkin terasa janggal dalam permainan adiwira yang lebih realistik. LEGO Gotham bersuasana malap, namun tidak sesuram siri-siri seumpamanya yang lain selama ini—malah terasa amat mengundang. Suasana berwarna-warni menjadikannya seronok untuk menjelajah sambil melawan jenayah di jalanan.
Batcave ialah satu lagi pencapaian mengagumkan. Ia merupakan pusat utama yang sungguh luas untuk Batman, dan terdapat banyak perincian serta penyesuaian yang tidak saya jangkakan. Batcave menempatkan dan mempamerkan 100 sut berbeza untuk Batman dan pelbagai watak lain yang boleh dimainkan, menjadikannya kelihatan seperti muzium mewah. Malah ada kedai tempat anda boleh gunakan mata wang dalam permainan yang anda kumpul untuk membeli hiasan. Ini termasuk item seperti pondok telefon, peti sejuk, dan banyak lagi. Ia terasa hampir seperti bermain Animal Crossing atau The Sims!
Anda juga boleh mengembangkan Batcave untuk mencipta kawasan baharu seperti makmal sains. Elemen hiasan rumah ini menambahkan suasana yang lebih selesa dan ceria kepada LEGO Batman: Legacy of the Dark Knight, dan lebih sesuai di sini berbanding dalam mana-mana permainan Batman lain. “Kami ingin menggunakan Batcave sebagai metafora untuk tempat yang diinginkan setiap lelaki, anda tahu, sudut peribadi kecil mereka,” kata Scott.

“Batcave itu ibarat watak lain, bukan?” dia menyambung. “Anda membina pangkalan anda, membina kereta anda, mencipta sut anda, dan keluar menjelajah bandar. Anda alami pengalaman wira sepenuhnya melalui mata Batman.”
Genre adiwira
Mereka yang sudah lama mendambakan permainan gaya Batman: Arkhamyang lain pasti akan gembira dengan LEGO Batman: Legacy of the Dark Knight. Pertarungan terasa seperti Freeflow Combat ikonik Arkham. Anda boleh membelasah musuh dan menyerang balas hanya dengan menekan butang. Semuanya terasa sangat lancar.
Apabila anda mengisi meter kuasa, anda juga boleh melakukan gerakan penamat yang bergaya. TT Games menggunakan lesen artistik siri LEGO untuk berkreasi, dengan gerakan penyudah seperti serangan bertubi-tubi pantas yang mengingatkan Pukulan Berterusan Wing Chun terkenal Donnie Yen, dan malah membaling pai ke muka musuh. Amat seronok meneka jenis gerakan penyudah yang anda akan dapat dan melihatnya dimainkan.
Setiap watak boleh dimainkan mempunyai set alat tersendiri untuk membantu membezakan diri. Batman mempunyai Batarang dan cangkuk bergayut Batclaw, sementara Commissioner Gordon mempunyai pistol goop yang melekatkan musuh. Anda juga boleh bertukar antara Batman dan rakan seperjuangannya dengan serta-merta, menambahkan kepelbagaian kepada tatamain detik ke detik.
Mereka yang pernah bermain permainan adiwira moden yang lain akan berasa selesa apabila bermain LEGO Batman: Legacy of the Dark Knight juga. Menu peningkatan alat dan kemahiran adalah ringkas dan mudah difahami. Ia mengingatkan saya tentang pohon kemahiran dalam permainan Marvel’s Spider-Man oleh Insomniac. Anda juga digalakkan untuk meneroka kerana barangan koleksi seperti WayneTech yang tersembunyi di dalam tahap (dan diberikan ganjaran kerana menyelesaikan aktiviti) digunakan untuk membuka kunci kemahiran baharu dan menguatkan alatan anda.

Dalam pratonton saya, terdapat empat watak yang dibuka: Batman, Commissioner Gordan, Catwoman, dan Robin. Terdapat tujuh watak yang boleh dimainkan secara keseluruhan (sekurang-kurangnya semasa pelancaran), dengan tiga watak lain yang disahkan ialah Nightwing, Batgir, dan Talia Al Ghul. Permainan LEGO yang lalu menampilkan senarai watak yang besar dengan ratusan watak, tetapi TT Games kali ini mengambil pendekatan yang lebih teliti dan memfokuskan cara setiap watak-watak itu sesuai dengan jalan cerita.
“Salah satu tema permainan ini ialah Batman berpendapat dia bekerja bersendirian, tetapi dia tidak pernah berbuat demikian. "Dia sentiasa ada bantuan dan rakan," jelas Scott. “Jadi apa yang perlu kami lakukan ialah melihat cara Batman berkembang daripada asal usulnya, dan menentukan siapa watak-watak terbaik.”
LEGO Batman lebih banyak muncul dalam filem dan televisyen berbanding dalam permainan video baru-baru ini, tetapi Scott memberikan jaminan kepada kami bahawa wira dalam LEGO Batman: Legacy of the Dark Knight ialah watak yang tersendiri, bukannya yang muncul dalam filem. “Batman kami memang berbeza dan watak ini yang jauh lebih disenangi,” dia berseloroh. "Walaupun The LEGO Batman Movie sangat hebat—dan saya peminat tegar—kami memutuskan untuk mengambil laluan kami sendiri."
LEGO Batman: Legacy of the Dark Knight dilancarkan pada 22 Mei, dan tersedia untuk prapembelian di Epic Games Store.