Artikel

Pendekatan Mad Mimic yang memuatkan soulslike lanun Mark of the Deep ke platform mudah alih

B
Brian Crecente
23 Nov 2026

Permainan pengembaraan lanun gabungan Metroidvania dan Soulslike Mark of the Deep dilancarkan pada peranti mudah alih minggu ini melalui Epic Games Store, hampir dua tahun selepas penampilan sulungnya di PC.

Permainan ini ialah judul eksklusif masa terhad Epic Games Store di Android dan iOS, merangkumi permainan utama dan juga The Cursed Trials DLC. Jika anda ingin memainkannya pada PC, permainan ini percuma hingga jam 12:00 TGH MLM GMT+8 pada 27 Nov. di Epic Games Store.

Walaupun hanya menggunakan ruang 1.5 GB pada peranti mudah alih (versi PC memerlukan 5 GB), ini merupakan permainan lengkap yang merangkumi semua biom, bos, penamat, babak, dialog, lakonan suara dan muzik.

“Perbezaan saiz fail ini kebanyakannya berpunca daripada pengoptimuman yang kami lakukan untuk menyesuaikan permainan ini bagi peranti mudah alih,” kata Luis Gustavo Marte de Arruda Sampaio, Pengarah Permainan dan Ketua Pereka untuk Mark of the Deep.

Menetapkan haluan

Sampaio berkata bahawa pasukan mahu menghasilkan permainan aksi pengembaraan, “tetapi kami mahu menambah kelainan kami sendiri dengan menggabungkan elemen Metroidvania.

“Kami mahu kebolehan seperti hookshot digunakan bukan sekadar semasa bertempur, dan ini membolehkan pemain membuka laluan baharu dan meneroka kawasan yang tidak dapat diakses sebelum ini, sekali gus menjadikan penerokaan sebagai elemen teras dalam pengalaman ini.

“Pada masa yang sama, kami ingin membina dunia yang penuh dengan misteri, watak yang menarik dan NPC yang boleh ditemui pemain sepanjang perjalanan, mewujudkan rasa kebersamaan sepanjang pengembaraan ini.

“Dari situlah kami mendapat idea untuk kisah seorang lanun yang terkandas di pulau misteri, tempat runtuhan tamadun purba menyimpan rahsia yang menanti untuk didedahkan. Gabungan aksi, penerokaan, misteri dan penceritaan didorong watak itu menjadi asas kepada Mark of the Deep.”

Pembangun Mad Mimic memulakan pembangunan dengan idea untuk menerapkan lebih banyak elemen Metroidvania dalam permainan, tetapi mereka menyedari pada peringkat awal bahawa perspektif isometrik 3D pandangan atas mengehadkan sejauh mana mereka boleh menerokai mekanik berasaskan pergerakan, sesuatu yang mereka anggap penting bagi pengalaman Metroidvania.

Oleh itu, pasukan tersebut meminjam elemen daripada genre berkenaan dan tidak membina sebuah permainan Metroidvania yang tulen.

Satu kerugian daripada skop projek yang luas ini ialah hab yang sepatutnya berkembang seiring dengan kemajuan pemain.

“Idea yang awal berkisarkan [Marcus “Rookie” Ramsey] yang menerokai pulau tersebut dan menemui lebih ramai ahli kru lanunnya yang hilang, kapal mereka akan dibina semula dan diperluas secara beransur-ansur, sekali gus mencerminkan kemajuan pemain menghampiri penamat permainan secara visual,” kata Sampaio. “Akhirnya, kami terpaksa mengutamakan skop projek ini dan menumpukan sumber kami pada aspek permainan teras, penerokaan dan naratif. Elemen-elemen itulah yang kami rasakan paling penting untuk disempurnakan.”

Versi PC bagi permainan tersebut dilancarkan pada Januari 2025 yang kebanyakannya mendapat ulasan positif, dan para pembangun terus berusaha menambah baik permainan tersebut selepas pelancarannya.

“Salah satu perkara yang bagus apabila kami melancarkan pada PC, kami berpeluang untuk mengumpul maklum balas dan membuat banyak penambahbaikan,” katanya. “Kami telah berjaya memperhalusi beberapa aspek pengalaman ini sejak pelancarannya, komuniti telah memberikan respons yang amat positif tentang perubahan yang dibuat.

“Malah, sambutan positif memainkan peranan besar dalam keputusan kami untuk membangunkan DLC The Cursed Trials . Kami mendapati bahawa pemain sangat menyukai aspek pertempuran bos, jadi kami ingin memanfaatkan maklum balas tersebut dan menawarkan sesuatu yang baharu dengan mod Boss Rush. Ini merupakan peluang terbaik untuk memperluas pengalaman berdasarkan elemen yang paling disukai oleh komuniti kami tentang permainan ini.”

Direka khas untuk ibu jari

Dalam usaha membawa permainan ini ke peranti mudah alih, pasukan terpaksa mereka bentuk semula kawalan untuk skrin sentuh. Mereka melakukannya dengan menjadikan pergerakan, serangan dan elakan sebagai input yang paling besar dan paling mudah diakses.

“Tiga tindakan tersebut ialah asas kepada kitaran pertempuran teras permainan ini: bergerak, menyerang, mengelak dan ulang,” kata Sampaio. “Memandangkan pertempuran sangat bergantung pada masa mengelak yang tepat dan reaksi pantas, kami mahu tindakan tersebut terasa semula jadi dan sangat responsif.”

Untuk tindakan sekunder permainan, seperti senjata jarak jauh, penyembuhan dan hookshot, pembangun memperuntukkan butang di sekeliling kawalan utama.

“Kami mempertimbangkan kedudukan dan capaian ibu jari dengan teliti, terutamanya memandangkan permainan ini dimainkan dalam mod landskap,” katanya. “Matlamatnya adalah untuk memastikan setiap tindakan mudah dicapai tanpa mengganggu kebolehan pemain untuk menyerang, mengelak atau bergerak. Malah, pemain juga boleh menyesuaikan kawalan, melaraskan saiz dan kedudukan butang untuk mencipta susun atur yang paling sesuai dengan gaya permainan dan keselesaan mereka.”

Jika anda kurang berminat dengan kawalan sentuh, versi mudah alih juga menyokong alat pengawal.

Di samping melaraskan kawalan untuk skrin sentuh, pembangun juga membuat beberapa pelarasan keseimbangan untuk menjadikan bahagian tertentu lebih mudah diakses dengan kawalan tersebut.

“Sebagai contoh, kami menyelaraskan masa untuk sesetengah teka-teki bagi menjadikannya lebih selesa untuk diselesaikan pada peranti mudah alih,” kata Sampaio. “Kami juga meneliti semula beberapa pertempuran yang agak mencabar disebabkan oleh musuh jarak jauh, dengan menggantikan sebahagian daripada mereka dengan musuh jarak dekat untuk menjadikan pertempuran tersebut lebih mudah dikendalikan.”

Versi mudah alih juga menambah bar nyawa pada bos, memberikan maklum balas yang lebih jelas kepada pemain tentang kemajuan mereka sepanjang pertempuran.

“Ini membantu mereka memahami dengan lebih baik tentang kemajuan serangan mereka terhadap nyawa bos,” katanya.

Walaupun ada pemain yang merasakan peta sukar digunakan pada PC, kemudian kami telah ubah suai pada Mac untuk menyertakan paparan tahap biom, dan ini masih belum diubah untuk peranti mudah alih.

“kami tiada rancangan untuk membuat penambahbaikan lanjut pada peta permainan,” kata Sampaio. “Kami sengaja mereka bentuknya agar lebih minimalis, kerana kami percaya bahawa sebahagian daripada cabaran ini adalah untuk pemain mencari jalan mereka sendiri menerusi dunia ini.

“Ini merupakan pilihan reka bentuk yang kami pilih, juga yang mendapat inspirasi daripada elemen Metroidvania. Pengalaman ini memfokuskan penerokaan, navigasi dan proses mempelajari susun atur dunia.”

Di sebalik tabir

Versi mudah alih direka bentuk berpandukan Samsung Galaxy A15 sebagai peranti rujukan, menyasarkan 30 FPS pada tetapan grafik Rendah.

Keperluan minimum ialah pemproses MediaTek Helio G99 atau yang setara, RAM 4 GB, GPU Mali-G57 MC2 atau yang setara, dan Android 8.1 atau versi lebih baharu. Versi iOS memerlukan telefon yang menggunakan iOS 15 atau lebih baharu.

Walaupun permainan ini berjalan tanpa had secara lalai, pemain boleh menggunakan pilihan dalam permainan untuk mengehadkan permainan pada 30 FPS bagi melanjutkan hayat bateri.

“Kami juga telah memudahkan tetapan grafik berbanding versi PC,” kata Sampaio. Secara lalai, permainan dijalankan pada tetapan Rendah untuk mengurangkan permintaan perkakasan dan penggunaan bateri, di samping masih membolehkan pemain melaraskan tetapan berdasarkan keupayaan dan pilihan peranti mereka.

Data simpanan dan kemajuan tidak dipindahkan antara PC, mudah alih dan konsol.

Mad Mimic tidak mempunyai sebarang rancangan untuk membangunkan lebih banyak kandungan untuk Mark of the Deep, tetapi permainan ini akan terus mendapat sokongan melalui pembetulan pepijat, kemas kini kecil dan penambahbaikan.

“Versi mudah alih akan mengikuti kemas kini dan tampung yang sama seperti versi PC,” kata Sampaio. “Dan ya, kedua-dua versi akan menerima kemas kini pada masa yang sama. Kami akan terus menyokong dan memperbaik versi mudah alih di samping versi PC, di samping memastikan kedua-duanya kekal dikemas kini.”

Ini bukanlah permainan pertama yang dibawa oleh Mad Mimic ke peranti mudah alih (permainan roguelike Dandy Ace sudah pun tersedia), dan ini bukan yang terakhir.

Sampaio berkata, “Kami merancang untuk terus membawa permainan masa depan ke peranti mudah alih setiap kali kami merasakan peranti itu sesuai untuk platform tersebut.”