Berita

Vexlands Ialah Permainan Pertukangan Santai Yang Memberikan Kegembiraan Dengan Kelainan yang Menyeronokkan

A
Alyssa Mercante
22 Ogo 2025
Sebaik sahaja saya mula bermain permainan pertukangan santai Vexlands yang akan datang, oleh Emberheart Games dan Apogee Entertainment, keriangan menyelubungi saya seperti selimut yang hangat di petang musim luruh yang dingin.

Watak piksel saya yang comel, berpakaian serba merah jambu, telah membuka kunci beberapa heksagon bersebelahan dalam peta kosong, dengan bantuan syiling yang watak ini miliki dalam inventorinya pada awal permainan. Bentuk yang baru dihuni dipenuhi dengan rumput hijau yang subur, satu semak tiba-tiba muncul, watak ini dapat menarik ranting daripadanya untuk membina kapak. Kemudian muncul pula pokok, yang boleh ditebang untuk mendapatkan kayu dan dijual kepada pedagang yang muncul di ruang heksagon yang lain.

Pembangun tunggal Vexlands, yang berpusat di Slovenia, Primož Vovk memberitahu saya bahawa permainan ini ialah surat cinta kepada permainan pertukangan 2019 iaitu Forager, yang memunculkan sumber secara kerap yang boleh digunakan oleh pemain untuk membina struktur, alatan dan pelbagai lagi.
Vexlands 1qw48
Vexlands berlatarbelakangkan suatu kawasan sumpahan dan hanya anda satu-satunya yang terselamat. Dengan membeli heksagon untuk meluaskan dunia (sesetengahnya lebih mahal berbanding yang lain), ini dapat menyucikan tanah ini daripada sumpahan, menghidupkan kembali tanah. Bioma yang berbeza diperlukan untuk anda melengkapkan matlamat di dalamnya untuk maju, seperti di greelands, apabila runtuhan yang terdapat di sebuah pulau di tengah-tengah tasik dibaiki, menara akan dibina, yang akan menyinarkan cahaya di serata peta yang memberikan akses kepada bioma gurun.

Sambil anda meluaskan kawasan, anda akan menemui kurungan dipenuhi teka-teki, gua dengan sistem perairan bawah tanah yang rumit dan pelbagai lagi. Oleh sebab Vexlands dijana mengikut prosedur, setiap pembukaan kawasan pasti memberikan kejutan. Hanya dengan beberapa bukaan kawasan, saya menemui kurungan yang dipenuhi item dan syiling istimewa. Tidak lama selepas itu, saya bertemu dengan NPC pertama, Rewardo yang mencari item yang baru saya temui, dengan menyerahkan item itu kepadanya akan membuka kunci papan kemahiran. Pilihan pertama saya dalam pohon kemahiran bercabang: kebolehan yang meningkatkan peluang saya mendapat syiling daripada menebang pokok. “Pilihan yang baik,”kata Vovk.

Terserlah kegembiraan saya dengan apa yang saya peroleh dan capai dalam masa yang singkat. “Saya tak suka bersusah payah untuk menaik tahap,” kata Vovk. Ada suatu kepuasan yang mendamaikan dalam permainan ini, seperti menenun atau mengecat ikut nombor. Vovk berkata Vexland ialah permainan yang anda mahu mainkan selepas bekerja sepanjang hari, saya pula membalas yang saya mahukan permainan ini dalam penerbangan pulang nanti. “Permainan ini seronok dimainkan di Steam Deck,” katanya.

Semakin anda maju menerusi dunia indah Vexlands , anda akan mendapat peluang untuk membina pangkalan anda sendiri, menyempurnakan ladang, tempat perlindungan dan pertahanan. Anda boleh memindahkan ayam untuk mendapatkan sumber yang konsisten, memancing di kolam, melombong untuk mineral yang nadir, menangkap dan mempamerkan pepijat. Ada juga pertempuran, walaupun saya tidak sempat menyaksikannya ketika sesi kali ini, maklum balas pemain setakat ini (Vexlands dilancarkan pada tahun hadapan, namun sudah menyediakan demo Steam yang boleh dimainkan sebelum ini), mengatakan permainan ini agak mudah.

Setelah saya bermain sebentar, Vovk memuatkan simpanan kemajuan miliknya. Saya terkesima—pangkalannya memiliki bandela jerami dan ladang yang menghijau, banyak alatan pertukangan, kurungan yang terletak tidak jauh dari kawasannya dan wataknya memakai topi kecil yang lucu.

Inilah satu lagi lapisan keseronokan bagi gaya permainan Vexlands. Ada yang hanya untuk dipamerkan, namun ada yang memiliki tujuan: lampu kepala di topi keledar pelombong membantu untuk menyuluh kawasan gelap dan topi hamburger pula akan menjatuhkan salad dan tomato. Permata yang anda temui ketika melombong dalam gua boleh ditambahkan di cincin, yang meningkatkan kelajuan tuaian atau menjadikan watak anda besar supaya dapat memusnahkan batu.
Sepanduk Gamescom Dengan Logo
Namun, ada lagi: ko-op tempatan bakal disertakan dengan pelancaran permainan penuh pada tahun 2026. Bagi seseorang yang sering merungut tentang kekurangan permainan ko-op tempatan, berita ini menggembirakan saya. “Huru-hara yang mendamaikan” ialah istilah yang Vovk gunakan untuk ko-op tempatan Vexlands, walaupun saya tidak dapat saksikan semasa sesi ini, saya dapat menggambarkan pengalamannya: jika anda melombong bersama-sama, mungkin sedang mencari jalan di bawah gunung ke bioma baharu, apabila seseorang membuka heksagon baharu yang terdapat bos. Tiba-tiba, sesi melombong biasa bertukar menjadi pertempuran dan seseorang akan dipersalahkan kerana bernasib malang.

Vexlands sememangnya permainan yang santai, malah terdapat banyak elemen menarik dan kelainan yang menceriakan dalam genre ini, sekali gus memberikan suatu pengalaman yang segar dan baharu. Masa saya yang singkat di Gamescom 2025 merupakan pengalaman yang menyeronokkan, sehinggakan saya masih berharap dapat bermain ketika penerbangan pulang yang lama. Permainan ini bakal keluar di PC dan konsol pada tahun hadapan dan harus dinantikan. Pastikan anda mencuba demo sekarang.