
Olahan semula vs. pemulihan semula permainan video: Apakah perkara tersebut & mengapakah perkara ini berlaku?

Permainan video kekal bertahan walaupun platform asalnya semakin dilupakan oleh kemajuan teknologi. Memainkan permainan lama yang hebat merupakan satu masalah yang wujud untuk diselesaikan oleh olahan semula dan pemulihan semula.
Biasa untuk melihat permainan klasik atau malah permainan popular terkini diolah semula atau dipulihkan semula untuk konsol dan PC moden. Tetapi apakah perbezaan antara olahan semula (remake) dan pemulihan semula (remaster) — dua istilah yang berkaitan (dan sering disamakan) tetapi secara amnya berbeza?
Dalam cerita ini, kami akan tunjukkan beberapa cara untuk membezakan permainan yang dipulihkan semula daripada olahan semula, menjelaskan perbezaannya, membongkar taktik pemasaran, dan meneroka sebab mengapa sesuatu permainan mungkin diolah semula atau dipulihkan semula.
Apakah itu permainan yang dipulihkan semula (remastered)?

Remaster ialah ibarat suntikan wajah moden untuk permainan lama.
Dalam permainan yang dipulihkan semula, pembangun biasanya menganggap versi asal sebagai bahan sumber dan mencipta versi baharu berdasarkan padanya. Remaster boleh merangkumi ciri yang dinaik taraf seperti audio moden, grafik yang dipertingkat, serta kadar bingkai dan resolusi yang lebih tinggi.
Tony Hawk’s Pro Skater 1+2 dikeluarkan beberapa dekad selepas versi asalnya, dan versi remaster ini merangkumi semua mod daripada permainan asal sambil mengemas kini kawalan dan visual serta menambah watak yang boleh dimainkan. Alan Wake Remastered menyertakan kempen asal tahun 2010 bersama kedua-dua pek DLC-nya serta sokongan grafik 4K.

Apakah itu permainan olahan semula (remake)?
Jika permainan remastered memberikan sentuhan moden kepada tajuk lama, permainan remake pula menggunakan permainan asal sebagai titik rujukan untuk membina sesuatu yang baharu dari asas, dengan pembangun biasanya bebas untuk membuat lebih banyak perubahan berbanding remaster.
Dead Space ialah contoh terbaik bagi sebuah olahan semula. Pembangun Motive Studio tidak sekadar membina di atas asas permainan asal dari tahun 2008. Mereka membina semula permainan ini menggunakan enjin moden baharu serta menambah penambahbaikan audio dan ketelitian visual, malah turut menyusun semula sebahagian daripada permainan dan jalan ceritanya. Ia pada asasnya masih permainan yang sama seperti versi asal, tetapi dengan menganggapnya sebagai olahan semula, pembangun mempunyai kebebasan untuk mengubah lebih banyak perkara berbanding jika ia hanya sekadar pemulihan semula.
Final Fantasy VII Remake pergi lebih jauh lagi. Ia mengekalkan watak-watak utama daripada versi asal tahun 1997 tetapi membuat perubahan besar pada visual dan mekanik permainan, sambil menambah ciri baharu dan mengubah sebahagian daripada jalan cerita.
Mengapa sesebuah permainan video diolah semula atau dipulihkan semula?

Mari kita lihat beberapa sebab paling biasa mengapa sesebuah permainan diolah semula atau dipulihkan semula.
Kemajuan Teknologi
Sebuah permainan mungkin mempunyai grafik dan gaya permainan yang inovatif semasa ia dilancarkan, tetapi masa boleh menjadikannya kelihatan dan terasa ketinggalan zaman. Mengolah semula dan memulihkan permainan sering kali sinonim dengan memodenkan aspek-aspek ini.
Insentif kewangan
Jika terdapat sokongan peminat yang kukuh, pembangun mungkin melihat olahan semula dan pemulihan semula sebagai sesuatu yang menguntungkan.
Menambah baik kelemahan asal
Tampalan dan kemas kini permainan merupakan kemewahan moden, tetapi banyak permainan lama masih mengekalkan gangguan, eksploitasi dan aspek lain yang tidak diingini sejak ia dilancarkan. Olahan semula atau pemulihan semula moden memberi peluang kepada pembangun untuk membetulkan kesilapan dan menawarkan pengalaman yang lebih baik kepada pemain.
Meluaskan khalayak pemain
Nostalgia mempunyai tarikan yang sangat kuat. Menghidupkan semula maskot dan siri permainan yang disayangi membuka peluang untuk menjangkau khalayak yang kurang mendapat perhatian. Olahan semula dan pemulihan semula juga boleh memperkenalkan permainan kepada khalayak baharu.
Pemeliharaan
Permainan video pada asasnya ialah perisian yang dibangunkan untuk dijalankan pada perkakasan tertentu. Apabila konsol asal, PC yang serasi dan media fizikalnya semakin tua, rosak atau menjadi tidak serasi, permainan tersebut boleh menjadi tidak boleh dimainkan. Mengolah semula dan memulihkan permainan membolehkan ia terus dimainkan serta memanjangkan jangka hayatnya.
Kandungan tambahan
Olahan semula atau pemulihan semula memberikan peluang untuk menambah kandungan yang dipotong sebelum ini serta kandungan baharu. Berbilang pemain dalam talian, bab baharu, dan senjata tambahan memberi pemain lama sesuatu yang baharu untuk dinikmati, sambil memodenkan aspek permainan untuk pemain baharu.
Peralihan fizikal ke digital
Memainkan permainan lama yang hanya wujud dalam bentuk media fizikal boleh menjadi satu cabaran. Pemacu cakera suatu ketika dahulu merupakan teknologi terkini dalam penyampaian permainan video, tetapi kebanyakan PC moden kini tidak lagi dilengkapi dengan pemacu optik. Banyak konsol berasaskan kartrij telah lama dihentikan pengeluarannya. Olahan semula atau pemulihan semula dalam bentuk digital boleh memastikan permainan seperti ini terus hidup dan boleh dinikmati oleh generasi akan datang.
Permintaan peminat
Fandom tidak mengenal masa dan permintaan terhadap permainan yang disayangi mencipta peluang pasaran yang bernilai. Permainan yang dipulihkan atau diolah semula boleh memenuhi permintaan peminat setia yang telah lama menantikan kepulangannya.
Visi artistik
Olahan semula permainan video memberikan peluang kepada pasukan kreatif asal untuk merealisasikan visi artistik mereka yang mungkin pernah terbatas pada masa dahulu. Pemulihan semula permainan video memberi peluang untuk membuat penyesuaian visual atau permainan yang lebih halus sambil meningkatkan keserasian dengan peranti moden.
Mainkan permainan olahan semula dan pemulihan semula kegemaran anda di Epic Games Store

Sekarang anda sudah tahu cara untuk membezakan antara remaster dan remake, mengapa tidak cuba beberapa permainan ini sendiri? Epic Games Store dipenuhi dengan permainan yang telah diolah semula dan dipulihkan semula. Jelajahi katalog kami untuk mencari remaster permainan kegemaran lama anda atau mainkan versi moden bagi klasik melalui remake.
Pastikan anda melihat halaman berita Epic Games Store untuk mengikut kemas kini terbaharu daripada semua pembangun kegemaran anda tentang semua permainan kegemaran anda.