Berita

Warhammer 40K: Dark Heresy Meletakkan Anda Dalam Kasut Seorang Imperial Inquisitor Yang Bersedia Untuk Melakukan Kerja Kotor

A
Alyssa Mercante
22 Ogo 2025
Sama seperti permainan main peranan Warhammer 40K terakhir oleh Owlcat Games iaitu Rogue Trader, Dark Heresy yang akan datang berdasarkan permainan main peranan atas meja dengan nama yang sama. Namun Owlcat tidak hanya mengulangi permainan sebelum ini, penerbit Anatoly Shestov memberitahu kami ketika pembentangan Gamescom selama sejam dan sesi demo permainan. Dark Heresy meletakkan anda dari sudut pandangan seorang Imperial Inquisitor, yang menyiasat ajaran sesat dan “mengotorkan tangan anda” dengan pasukan pembantu yang terpilih, semuanya berkhidmat untuk Imperium of Man.

Dark Heresy menjanjikan RPG yang kaya dan mengasyikkan, membuatkan pemain menentukan sempadan moral mereka sendiri, yang akan mereka persoalkan di setiap langkah dalam permainan. Anda bukan dalam Calixis Sector untuk membetulkan perkara yang salah atau membantu rakyat yang susah; anda berada di sini untuk memastikan tiada sesiapa yang melakukan apa-apa yang tidak memanfaatkan Imperium, atau tanpa kebenaran yang nyata.

Dalam demo tanpa sentuhan itu, Shestov muncul kira-kira 15 jam selepas bab pertama, di aras paling bawah sebuah kota sarang, dengan sisa toksik yang ada di sekitarnya. Di bawah ini, terdapat dadah, jenayah, mutan, kematian, dan banyak lagi kematian yang berlaku. Ada orang yang membunuh orang lain dan kita perlu ketahui puncanya. “Bukan sebab kita ambil berat,” kata Shestov, “Tetapi kerana ada orang yang memandai-mandai tanpa disuruh oleh Imperium.”

Ketika dia menggerakkan skuadnya di sekitar kawasan, Shestov menunjukkan beberapa butiran visual dengan bangganya, seperti dinding yang dicat dengan wajah orang yang hilang, seorang lelaki yang memasuki kolam cecair toksik dengan kerelaan serta adegan pendek selepas dia ingin “meninjau” gerudi gergasi.

“Saya bangga dengan hasilnya,” dia berkata sambil tersenyum. Owlcat telah menaik taraf visual “dalam setiap bahagian yang boleh dilakukan” untuk Dark Heresy, memerlukan mereka untuk mengubah rangka kerja dalaman mereka secara drastik kerana mereka tidak dapat menggunakan aset daripada permainan sebelumnya—Dark Heresy bukanlah sekuel kepada Rogue Trader, ia berkisarkan kisah yang baharu.

Dalam kisah ini, Owlcat ingin memfokuskan penyiasatan dan penyelidikan. Apa-apa pun, sebagai Inquisitor, kata-kata anda bagaikan dakwah dan jika anda dipanggil untuk mencari jawapan tentang pelombong yang mati atau bekalan yang hilang, pasti anda mahu menunaikan tanggungjawab anda untuk memastikan anda membuat keputusan termaklum, betul tak?

Shestov menunjukkan kepada kami cara anda akan menyiasat kes dalam Dark Heresy dengan melihat petunjuk dan merujuk kru anda, yang akan membawa kepakaran masing-masing. Pakar senjata boleh memberitahu anda yang badan terbelah dua itu terlantar di lantai dibanjiri darah di hadapan anda itu mungkin telah dibelah dua oleh laser, manakala pakar perubatan boleh memberi anda petunjuk tentang waktu kejadian.

Ikon bebola mata menunjukkan matlamat untuk penyiasatan khusus, manakala jurnal membantu anda menjejaki matlamat itu dan melakukan penyiasatan tambahan jika perlu. Semasa sesi demo, kami telah menyaksikan penyiasatan oleh Inquisitor Millicentilia, yang mahu mengetahui sebab kru penggaliannya telah hilang. Skuad meninjau bilik kali terakhir orang yang hilang telah dilihat, menyiasat setiap matlamat, membuat beberapa kesimpulan sebelum bercakap dengan Millicentilia, yang menafikan beberapa perkara tetapi menerima yang selebihnya.
Warhammer 40k Dark Heresy Em8ka
“Biasanya, pemain tertanya-tanya dalam permainan detektif, apakah yang pembangun mahukan daripada saya?” kata Shestov. Namun Warhammer 40K: Dark Heresy tiada jawapan “betul” atau “salah” kepada penyiasatannya, tiada juga naratif yang ditentukan oleh pereka permainan secara halus kepada pemain untuk menuju laluan tertentu. “Permainan telahan ini dimainkan oleh pemain sendiri dalam minda mereka,” kata Shestov. Siasatan ini telah membawa kami ke kurungan, tempat pekerja ini telah ditahan, lalu memasuki pertempuran berdasarkan giliran dengan lancar.

“Inilah anak saya,” Shestov berjenaka sambil dia memilih Ogryn si gergasi (manusia mutan yang bersaiz sangat besar) daripada pasukan dan menghantarnya ke dalam bilik yang menahan tawanan itu. “Saya pasti dia tak akan mati.”

Yang berikutnya ialah pertempuran berdasarkan giliran yang agak panjang termasuk beberapa ciri baharu, seperti kebolehan penumpuan. “Biasanya, cRPG tidak memiliki penembak hendap yang boleh membunuh anda dengan satu tembakan,” kata Shestov. Namun dalam Dark Heresy, musuh tertentu akan membuat telegraf “kebolehan penumpuan” seperti balingan bom tangan atau serangan besar dengan garisan biru melengkung. Ini amaran seperti “saya akan bunuh awak jika awak tak buat sesuatu,” kata Shestov. Anda perlu mengganggu penumpuan musuh sebelum masa tamat (yang boleh dilakukan dengan mengenakan kerosakan yang mencukupi atau memusnahkan moral supaya mereka hilang keyakinan), jika tidak habislah anda.

Ketika pertempuran pun bermula, Ogryn menjadi perisai manusia untuk tawanan itu, melindungi mereka daripada tembakan. Shestov tersengih, itulah sebab saya hantar dia ke dalam sana, untuk menjadi penyerap peluru sambil skuad yang selebihnya berlawan di belakangnya.
Sepanduk Gamescom Dengan Logo
Dia menunjukkan kebolehan “serangan tepat” yang membolehkan pemain memfokuskan lokasi untuk menyasarkan serangan akan datang (cthnya, kepala, lengan, kaki, jantung musuh), yang akan mengubah pertembungan secara ketara. Tembakan ke kepala mereka akan menghalang mereka menggunakan kebolehan mereka, manakala lengan pula akan membuatkan mereka tidak bersenjata, kaki pula akan melumpuhkan mereka.

Pasukan di Owlcat sangat berbangga dengan sistem moral baharu Warhammer 40K: Dark Heresy, yang boleh menakutkan musuh sehingga mereka mengaku kalah kepada anda jika dimanfaatkan dengan baik. Jika tahap moral itu dibina cukup tinggi, contohnya dengan menewaskan ketua puas musuh, mereka akhirnya akan mengaku kalah dalam pertempuran. “Tak banyak permainan yang menawarkan gaya permainan yang kurang,” Shestov berjenaka. “Namun ini seperti permainan chess, jika anda bakal menang, perlukah anda teruskan lagi?”

Warhammer 40K: Dark Heresy kelihatan bersedia untuk mengembangkan lagi senarai tajuk RPG Owlcat Games yang hebat. Permainan ini tidak janggal tetapi segar, lebih pelbagai tetapi dengan tumpuan, suram dan padat seperti yang boleh anda jangkakan dalam alam Warhammer.

Kami belum mendapat tarikh keluaran untuk permainan ini, namun anda boleh menambahkan tajuk itu dalam senarai hajat sekarang di Epic Games Store.