
Berita
Wizordum Ialah Permainan FPS gaya 90-an yang Menyeronokkan, Anda Boleh Membina Tahap Anda Sendiri
A
Alyssa Mercante
Terdapat mayat yang terdampar di kawasan berdekatan, ada takungan darah yang mengalir dari mayat itu. Saya menghentamnya dengan serangan jarak dekat dan mengumpulkan item rampasan. Pembangun tunggal Emberheart Games iaitu Primož Vovk Slovenia, memberitahu yang anda boleh menghentam mayat dalam versi Akses Awal Wizordum (yang telah menggembirakan pemain sejak November 2023). “Pemain memberikan maklum balas, ‘boleh tak kami kutip sahaja,” katanya, sambil ketawa.
Plot Wizordum memiliki genre fantasi tinggi: Sebuah kunci purba telah pecah, melepaskan Chaos dan anda salah satu penyihir Wizordum terakhir yang ditugaskan untuk mencari sumber kekacauan ini. Anda bermula di luar istana gaya zaman pertengahan, namun semakin anda maju dalam permainan, anda akan berlawan merentasi bioma bersalji, daratan dibanjiri lava dan hutan ajaib. Sambil merentasi semua itu, anda perlu berlawan dengan bota dan goblin untuk mara, dengan cokmar sebagai senjata pertama, kemudiannya anda menggunakan senjata projektil menarik seperti tongkat yang menembak ais (yang boleh anda pecahkan untuk memusnahkan musuh) dan cincin yang membolehkan anda menembak api dari kedua-dua tangan.

Permainan ini dengan rentak yang pantas dan ringkas, dibina untuk bermain secara pecutan dan mencari rahsia. Vovk memberitahu saya bahawa terdapat lebih 200 rahsia yang tersembunyi dalam Wizordum, walaupun ada banyak yang perlu dicari dan dilakukan, matlamatnya adalah untuk pemain mula bermain setelah lama tidak bermain. Vovk memberitahu tajuk Doom terbaharu, menceritakan yang dia berhenti bermain untuk seketika dan terasa sukar untuk mengingati cara bermain permainan itu. Dia tidak menyukai pengalaman itu, maka dia pastikan Wizordum “agak kasual.”
Kasual ialah istilah yang sesuai, walaupun saya memilih penyihir dan belajar dengan pantas bahawa dunia semakin meluas sambil saya bergerak, saya tidak pernah rasa tertekan. Musuh mudah itu dicari dan dibunuh, dan peta walaupun mengandungi khazanah yang tersembunyi, saya rasa mudah untuk dinavigasi. Jika saya terlepas akan sesuatu, mudah saja untuk saya kembali. Jika saya memasuki satu simpang dan mula diserang, agak mudah untuk saya mengubah hala agar sia-sia saja usaha bota melontar bebola api kepada saya.
Wizordum bergerak dengan pantas dan penuh dengan item untuk dikutip, musuh untuk dilawan dan rahsia untuk diterokai, ini bukti bagi kemahiran reka bentuk permainan Vovk yang mudah dikendalikan sepanjang sesi permainan. Walaupun dengan hanya beberapa minit mencuba, Wizordum dapat menarik anda untuk terus bermain, kesannya tidaklah terlalu melampau sehinggakan anda tidak boleh berhenti dan makan.

Akan tetapi, aspek yang paling menarik bagi permainan Emberheart ialah editor tahap terbina dalam, yang merupakan ciri sama yang digunakan oleh Vovk untuk membuat peta dalam permainan. Pemain PC boleh menggunakan editor tahap untuk mereka bentuk cabaran pecutan mereka sendiri dan memuat naik tahap itu dengan segera kepada permainan untuk dicuba oleh pemain lain (apabila Wizordum tersedia di konsol, ia akan membawa tahap yang dibuat peminat tetapi tidak termasuk editor itu). Mereka boleh memilih di mana lokasi pemain bermula dan menamatkan tahap, meletakkan musuh dan item di sepanjang jalan, menambahkan unsur yang menyeronokkan seperti kabus, zarah habuk, dinding palsu yang membuka kawasan rahsia.
Editor tahap ini seperti ciuman gincu di akhir surat cinta kepada tajuk FPS 90-an. “Permainan sekarang tidak menyediakan editor tahap lagi,” kata Vovk. Tidak hairanlah, tarikan nostalgia yang ada dalam Wizordum, ditambah dengan editor tahap gaya lama (mengingatkan permainan seperti Duke Nukem 3D), telah menjadikan ciri ini sangat popular. Pemain menyukainya; Vovk memberitahu bahawa ada satu pemain yang sangat menyukai ciri ini dan telah meluangkan masa lebih 600 jam dalam editor tahap. Binaannya sangat hebat sehinggakan Emberheart dan Apogee memberikan upah kepadanya untuk mencipta tahap rahsia dalam permainan.

Setelah beberapa tahun dengan Akses Awal, Wizordum akan datang ke konsol dan Epic Games Store, membawakan semua keseronokan nostalgia 90-an dan tahap dicipta peminat yang unik. Jika anda ingin membina tahap anda sendiri, ingat bahawa anda perlu bermain pada PC untuk mendapat keupayaan itu. Jika anda suka membekukan bota menjadi ais krim hodoh dan memecahkan mereka dengan pergerakan tangan seperti penyihir, Wizordum menanti anda.