Berita

Hunger ialah RPG pengekstrakan yang diinspirasikan oleh Hunt: Showdown, Bloodborne, dan banyak lagi

T
Toussaint Egan
30 Jun 2025
Hantu sedang menghantui Eropah, iaitu hantu Hunger. Good Fun Corporation (sebelum ini Black Matter) kembali selepas hampir tiga tahun menyerahkan penembak WWII 2021 mereka, Hell Let Loose, kepada penerbit Team17. Permainan baharu mereka ingin mengetengahkan genre pengekstrakan dengan gabungan inventif penerokaan, mekanik RPG serta pertempuran detik demi detik yang brutal.

Berlatarbelakangkan Eropah Napoleon, Hunger berkisar tentang sekumpulan yang terselamat daripada virus seakan rabies yang apokaliptik, bergelar Hunger yang tersebar di seluruh benua. Pemain memiliki peranan sebagai satu daripada enam yang terselamat, dikenali sebagai Living, yang perlu berlawan untuk mempertahankan penduduk Chateau daripada gerombolan yang dijangkiti Hunger di luar tembok. Chateau, diinspirasikan oleh Mont-Saint-Michel dunia nyata, satu daripada kubu kemanusiaan yang masih ada.

Living memulakan ekspedisi bagi pihak pelbagai puak Chateau, mengumpul sumber, menempa senjata baharu dan membongkarkan asal wabak dengan harapan menyembuhkan kemanusiaan daripada hawar yang merosakkan ini. Sama ada bermain secara solo atau berkumpulan seramai tiga orang, pemain memasuki runtuhan dunia bagi mencari kegemilangan dan kekal terselamat.
Pratonton Hunger 1
“Saya memang sudah lama meminati era Victoria atau era Renaissance, serta cita rasa Gothik, ini sudah lama bermain di minda saya,” kata Maximilian Rea, CEO Good Fun Corporation dan Ketua Pembangun bagi Hunger. “Saya sudah sekian lama meminati idea kesipian zaman itu dan kesesuaiannya apabila bergabung dengan kisah rakyat dan mitologi.”

Rea menjelaskan lagi tentang pengalaman Good Fun Corporation sebelum ini dengan Hell Let Loose yang menginspirasikan mereka untuk mencipta alam semesta asli mereka yang tersendiri. “Apabila saya dan pasukan saya menghasilkan Hell Let Loose, kami cuba untuk menghasilkan permainan yang seronok tetapi masih memfokuskan pakej sejarah yang amat asli, yang menyebabkan ramai peminat cerewet tentang tahap keaslian dan kebenaran sejarah,” kata Rea.

Hunger yang berlatarbelakang era Napoleon berasal daripada minat am tentang sejarah antara saya dan juga pasukan kami,” ujar Rea lagi. “Namun, idea realiti alternatif terwujud daripada, ‘Apa kata jika kita boleh mempengaruhi sejarah sebagai pembangun, ahli kreatif, dan tidak terlalu terikat dengan realiti sejarah.’”

Apabila ditanya tentang inspirasi awal di sebalik alam semesta dan tema Hunger, Rea menyebut tentang pelbagai pengaruh eklektik termasuk novel Patrick Suskind iaitu Perfume: The Story of a Murderer, novel Peter Greenaway iaitu The Draughtsman’s Contract dan The Cook, the Thief, His Wife & Her Lover serta novel Gabriel Garcia Marquez iaitu One Hundred Years of Solitude.
Pratonton Hunger 4
“Terdapat banyak karya fiksyen yang berlatarbelakang dan berkaitan dengan era Napoleon yang saya anggap sangat unik, walaupun jika anda buang sebarang unsur fantastik daripada karya itu,” kata Rea. “Saya rasa kita semua sedar bahawa fantasi dan fiksyen sains yang terbai ialah karya yang paling hampir dengan sejarah dan politik, kerana kita dapat memahami buah catur yang disusun di atas papan catur, kemudian kita boleh melihat mereka berinteraksi antara satu sama lain. Game of Thrones ialah contoh yang baik tentang ini, menggunakan pelbagai situasi yang sebenarnya berlaku dalam sejarah pertengahan, kemudian membawa masuk unsur itu dan memberikan keaslian sebenar kepada semua peristiwa yang berlaku pada lakon layar.”

Namun pengaruh sejarah tidak terhenti di situ. Rea menjelaskan gaya seni Hunger sebagai “Gothik Renaissance,” menarik pelbagai inspirasi daripada pelukis pada kedua-dua zaman itu dan pewaris estetik untuk menghasilkan suatu seni yang popular pada era itu sambil memberikan kebebasan kreatif kepada pasukan pembangun.

“Caravaggio sentiasa merupakan satu daripada artis kegemaran saya,” ujar Rea. Dia merupakan pelukis Renaissance yang mempopularkan kiaroskuro, penggunaan hitam pekat untuk menutup segala-galanya yang bukan aksi babak, serta keganasan melampau. Terdapat lukisan sangat terkenal yang dihasilkan olehnya tentang Judith memotong kepala Holofernes.” Rea juga memetik tentang pelukis era Victoria Inggeris seperti John Everett Millais serta pakar lukisan landskap Belanda sebagai pengaruh di sebalik watak Hunger dan reka bentuk persekitaran.

Selepas meninggalkan Hell Let Loose, Rea dan pasukannya mula memikirkan tentang projek seterusnya. Sudah tentu, perhatian mereka tertarik kepada penembak pengekstrakan, genre yang menjadi kemahiran mereka.

“Kami sudah bermain setiap penembak pengekstrakan, daripada besar sehingga yang kecil,” kata Rea. “Banyak inspirasi yang kami temukan agak kurang dalam Delta Forces dan DMZ, tetapi lebih banyak dalam The Cycle: Frontier, Marauders, Hunt: Showdown, dan sudah tentu Escape from Tarkov, yang merupakan pemula awal bagi permainan ini. Kami berfikir secara mendalam tentang cara kami dapat menggabungkan minat sejarah dan keanehan ini bersama kelebihan penembak pengekstrakan.”
Pratonton Hunger 5
Walaupun dengan semua ciri ini, Rea dan pasukan tidak mengelaskan Hunger sebagai penembak pengekstrakan semata-mata. “Pengenalan pantas bagi Hunger adalah dengan tidak mencipta huruf E dan S besar, Penembak Pengekstrakan, namun tujuan utama adalah menggunakan ulangan gaya permainan pengekstrakan dengan cara yang sama digunakan oleh Diablo tanpa menggelar permainan itu sebagai permainan pengekstrakan,” kata Rea. “Hunger ialah permainan RPG pandangan pertama berbilang pemain dengan pohon kemahiran, pelbagai jenis senjata, melibatkan banyak kutipan item dan pelbagai jenis item kutipan, kelengkapan, gajet, item penyembuhan, pertukangan dan kosmetik. Ini menggunakan format pengekstrakan dan bukannya format linear atau format open world.”

Dalam erti kata lain, Hunger boleh disamakan apabila anda menggabungkan Hunt: Showdown, Bloodborne dan Kingdom Come: Deliverance menjadi RPG seram yang bercita-cita tinggi.

Bagi Rea, perbezaan ini penting untuk bukan sekadar memahami tentang Hunger, dan perkara yang ditawarkan kepada pemain, namun ini memanfaatkan subgenre pengekstrakan secara keseluruhan. “Bagi saya, penembak pengekstrakan rasa seakan roguelike berbilang pemain, apabila anda cuba mencari kedalaman bagi sesuatu yang merupakan pengalaman yang sama, kononnya dan berulang-ulang,” kata Rea.

Dia menyebut contoh seperti Hades, Risk of Rain 2 dan Slay the Spire, permainan yang mungkin tidak sesuai dengan takrifan terperinci permainan “pengekstrakan”, namun menawarkan tahap kepelbagaian yang sama dan kebebasan ekspresi yang sama diberikan oleh penembak pengekstrakan.

“Maka saya rasa idea inilah yang boleh anda persembahkan persekitaran yang sama kepada orang dan menunjukkan kepada mereka cara menerokai dan berinteraksi secara berulang-ulang kali, berbanding dengan memiliki pasukan seramai 700 orang untuk menghasilkan permainan open-world yang sangat luas dan gergasi,” ujar Rea lagi.
Pratonton Hunger 3
Good Fun Corporation ingin melancarkan Hunger kepada Akses Awal di Epic Games Store sekitar enam bulan terakhir 2025, dan pasukan memiliki rancangan besar untuk salvo pembukaan kandungan boleh dimainkan bagi permainan ini. Ini termasuk enam watak boleh dimainkan, setiap satu dengan keupayaan pasif, taktikal unik dan ultimate yang tersendiri, direka bentuk untuk memudahkan pemain sebelum mengalakkan mereka menerokai laluan untuk membina gaya permainan mengikut cita rasa mereka sendiri.

“Apa yang kami lakukan untuk setiap satu adalah dengan menyasarkan barisan watak arketip yang aneh pada era itu, yang akan memainkan peranan tanpa terlalu terikat,” kata Rea. “Sering kali, keupayaan pasif, taktikal dan ultimate membolehkan anda melakukan sesuatu yang boleh anda lakukan dalam pohon penguasaan juga atau ini boleh dilakukan oleh sejenis makanan atau minuman (iaitu item dalam permainan).”

Pelancaran Akses Awal Hunger akan memperkenalkan Hugo, bekas bangsawan Perancis dan aristokrat; Eva, seorang asasin dan pencuri yang membesar di daerah setinggan Paris; Serena, pernah terselamat daripada pemberontakan hamba yang berasal dari Isle of Santa Dominga; Marie, “biarawati tempur” yang berasal dari sekta Cistercian yang terletak di pergunungan tinggi; Gabriel, askar berkuda pasukan khas Napoleon Grande Armée terikat dengan kod bangsawan; dan seorang askar upahan Prusia yang terkenal yang menyokong pemain lain dengan akses mereka kepada pertukangan dan pembaikan perisai.

“Perkara yang penting bagi kami, tiada satu pun watak kami bersifat mudah simpati sepenuhnya,” kata Rea. “Untuk kekal hidup di tempat ini memerlukan kecekalan, tahap kekejaman dan jujurnya tahap sosiopath yang tinggi. Kemampuan untuk menerima kehilangan dan melarikan diri. Anda mempunyai kumpulan yang sukar ditemui, dan kami berusaha keras untuk menjadikan setiap seorang agar terdapat logik bahawa mereka terselamat dalam bencana yang menggerunkan ini. Seperti kami semua, mereka melalui pengalaman yang buruk dan kami ingin menyentuh banyak latar belakang budaya yang berbeza.”

Tahap pemikiran dan niat yang sama dihalakan kepada reka bentuk dan latar belakang berkaitan bagi watak pemain Hunger juga diberikan kepada musuh, setiap satunya direka bentuk untuk menunjukkan jenis bahaya yang berbeza. Hierarki musuh yang anda akan temui dalam permainan termasuk Dregs (musuh seperti zombi prototaip), Shambler (setara dengan ancaman kepada pemain berperisai sepenuhnya dengan tangan besar yang hancur serta bercerucuk dengan kuku), Waif (yang menggeliat di sekeliling lantai dan meleret ke arah kaki pemain untuk menyerang), Bloat (meletup untuk menyebarkan gas) Drooler (melemparkan projektil dengan lidahnya) dan Brute, musuh besar yang mengenakan kerosakan yang tinggi.
Pratonton Hunger 2
Enam arketip musuh ini akan muncul semasa pelancaran Akses Awal Hunger, dengan rancangan untuk memperkenalkan jenis Hunger baharu tidak lama selepas itu, serta puak dalam permainan tambahan.

“Idea ini dengan harapan untuk terus memberikan kejutan, mungkin juga menakutkan, serta mencabar pemain,” kata Rea. Lebih kurang seperti enam watak pemain awal, setiap satu daripada enam jenis Hunger yang berbeza akan menampilkan kisah unik yang tersendiri serta menerokai sifat wabak ini dan akibat yang berlaku kepada sesiapa yang terjangkit. “Paling teruk sekali apabila anda mengenali orang itu sebelum ini. Lebih sukar untuk menghapuskan berjuta-juta zombi jika anda mengetahui nama dan umur serta harapan dan impian setiap zombi. Ini mengubah pemberatnya dengan cara yang sangat teruk, dan kami berpendapat bahawa agak penting untuk memperlihatkan kesuraman bagi realiti ini kepada anda.”

Dengan gedung lebih daripada 30 senjata, hab sosial yang ceria dan sentiasa berevolusi, tiga peta (1x1 kilomoter dalam skop) tersedia ketika pelancaran, Hunger pasti akan menjadi popular dalam kalangan peminat penembak RPG dan pengekstrakan sebaik sahaja permainan ini dikeluarkan ke Akses Awal akhir tahun ini. Bagi tempoh Akses Awal itu, Rea menganggarkan bahawa Hunger akan mengambil masa kira-kira dua tahun selepas keluaran awal untuk mencapai 1.0.

“Perkara yang menamatkan Akses Awal semestinya setelah kami memastikan versi permainan akhir ini amat mendalam dan kaya serta menarik kepada pemain,” kata Rea. “Kami akan melancarkan pengalaman yang amat besar, namun kami mahu mengadakan pengalaman PvP khusus dan pengalaman PvE yang lebih luas bagi permainan akhir anda. Kami mahu memiliki barisan watak yang besar sebagai pilihan dan alatan, senjata serta peta yang lebih lengkap dalam permainan.”

Hunger akan dilancarkan dalam Akses Awal di Epic Games Store pada lewat tahun ini.