
Berita
Perhatikan kejutan tidak dijangka dalam Train Sim World 6
A
Alan Wen
Apabila saya berbual dengan penerbit teknikal kanan, Lukas Klimczyk, mengenai keluaran terbaharu studio itu di Gamescom 2025 sebelum pendedahan penuhnya di Dovetail Direct, beliau berkongsi tentang perkara yang menjadikan simulasi dalam siri Train Sim World begitu istimewa.
“Simulator lain di luar sana cuba mencipta seluruh dunia yang kemudiannya sekadar menjadi sebuah abstrak,” jelasnya. “Akan tetapi, kami mempunyai setiap isyarat di tempat yang betul dan nama yang tepat dengan fungsi yang sepadan. Kami begitu mahir sehinggakan ada syarikat yang datang untuk mendapatkan latihan!”
Itu bukan bermaksud Train Sim World 6 hanya untuk peminat tegar kereta api. Sememangnya, kami tidak menjangka setiap pemain akan bermain dengan tetapan realistik penuh, yang memerlukan pemahaman tentang semua sistem keselamatan bagi setiap kereta api. “Maksud saya, ada sebab mengapa pemandu sebenar perlu menjalani latihan untuk tempoh yang agak lama!” kata Klimczyk. “Namun, ada juga yang sekadar mahu bersantai seperti sedang melancong secara maya.”

Dengan kata lain, terdapat tahap kebebasan yang agak tinggi. Memandu kereta api mungkin menjadi tumpuan utama simulasi ini, tetapi anda juga boleh menjadi seorang konduktor yang memeriksa tiket sah atau sekadar menikmati perjalanan sebagai penumpang biasa. Walau sebagai apapun, anda pasti menghargai usaha keras pembangun yang mencipta semula segala-galanya di sepanjang laluan, daripada stesen dan persekitarannya, hingga ke pemandangan dari setiap laluan dengan ketepatan masa nyata 1:1.
Itulah juga yang menjadikan setiap keluaran begitu istimewa kerana bukan setakat penampilan baharu, anda juga mendapat kandungan terkini setiap kali kemas kini, termasuk kereta api dan laluan baharu. Mereka juga jarang mengurangkan perincian dan skala, kerana Train Sim World 6 merangkumi laluan Dresden-Leipzig di Jerman, sepanjang 150 kilometer dengan 43 stesen, termasuk penciptaan semula Leipzig Hauptbahnhof yang tepat, dengan keluasan 83,460 meter persegi telah menjadikannya stesen kereta api terbesar di Eropah dari segi keluasan lantai. Anda juga pasti akan terpesona melihat keindahan laluan dengan penambahan Riviera Line di UK yang melalui beberapa pemandangan paling cantik di sepanjang pantai, termasuk tebing dengan batu kapur putih dan batu kapur merah.
Namun, apabila berbicara tentang perkara-perkara kecil yang menyumbang kepada keaslian sesebuah simulasi, hal ini bukan sahaja tentang perkara yang boleh dilihat, tetapi juga perkara yang boleh didengari. Salah satu ciri yang paling diminta yang ditambah dalam Train Sim World 6 ialah pengumuman yang boleh didengar. Apabila sudah ada sekarang, saya hampir tidak percaya ciri ini tidak pernah ada sebelum ini. Adakah anda benar-benar berada di platform kereta api jika anda tidak dapat mendengar seseorang memberitahu stesen berikutnya melalui sistem pembesar suara?

Untuk menjadikannya tepat, Klimczyk berkata pasukannya telah mencipta sebuah sistem yang penuh dinamik supaya pengumuman ini akan kedengaran berbeza secara semula jadi bergantung kepada lokasi anda sedang bersih ada. Hal ini sememangnya satu perincian yang mahu dipastikan tepat oleh pasukan, kerana mereka tahu komuniti teras juga memberi perhatian kepada perkara itu, mungkin sehingga merakam pengumuman daripada pembesar suara stesen menggunakan telefon mereka.
“Jika anda duduk di dalam kereta api, anda mungkin akan mendengar pemandu bercakap dengan suara agak tenggelam atau daripada pembesar suara, supaya menjadi lebih melekakan. Kadangkala anda juga akan terdengar Bahasa Inggeris asli yang ‘kurang tepat’ apabila mereka berkata, ‘Thank you for travelling with Deutsche Bahn!"”
Bagi perubahan pada gaya permainan, anda juga akan mempunyai pilihan untuk mengawal gelangsar bagi acara rawak, daripada kerosakan kereta api mengejut, kegagalan isyarat, hingga sekatan kelajuan sementara, yang akan mengakibatkan sedikit kekacauan yang tidak dijangka sebagai cabaran kepada anda untuk memastikan kereta api berjalan tepat pada masanya. Walaupun ini selalunya baik untuk kebolehulangan permainan, disebabkan tiada dua perjalanan yang sama di mana-mana laluan, sesiapa yang pernah mengalami masalah dalam kereta api juga tahu itu merupakan kejadian sebenar. “Perkara itu sangat biasa di dalam dunia sebenar, jadi sememangnya masuk akal,” kata Klimczyk.
Sudah tentu, Train Sim World 6 tidak berhenti di situ, dengan lebih banyak kehadiran kandungan tambahan pada masa akan datang pada keluaran kali ini, akan ada laluan di negara baharu seperti Portugal, Czechia dan Jepun, yang direka semula dengan keaslian oleh pasukan tempatan di rantau berkenaan. Lebih penting, pemain sedia ada juga akan dapat membawa koleksi laluan dan kereta api mereka yang sedia ada. Hal ini juga mungkin sebab Dovetail tidak tergesa-gesa untuk beralih daripada versi Unreal Engine 4 mereka yang telah diubah suai secara khusus.
“Unreal tidak dibina untuk jumlah kandungan sebegini, tetapi beberapa perkara yang kami buat untuk permainan ini sebenarnya dimasukkan juga ke dalam enjin teras,” kata Klimczyk. “Kepadatan penumpang masih belum mencapai tahap yang kami mahukan, tetapi anda tetap merasai kesannya apabila stesen menjadi sibuk, dan mod foto juga mempunyai simulasi penuh waktu siang, malam dan cuaca. Segalanya menjadi semakin baik setiap tahun.”

Train Sim World 6 akan dilancarkan di Epic Games Store pada 30 September. Anda boleh membuat pratempah edisi standard, deluxe atau edisi khas, dengan edisi deluxe dan khas juga membolehkan anda bermain lebih awal bermula 25 September.