
Permainan PC terbaik untuk dimainkan bersama rakan secara dalam talian

Permainan dalam talian memang menyeronokkan sama ada anda benar-benar bermain permainan video bersama rakan atau sekadar melepak di lobi sambil berbual dan bertukar cerita.
Terdapat banyak permainan PC berbilang pemain merangkumi hampir setiap genre yang boleh dimainkan dalam talian, tetapi mencari permainan yang sesuai untuk kumpulan anda boleh jadi agak mengelirukan. Sebab itulah kami telah menyelusuri katalog besar Epic Games Store untuk mencari beberapa permainan PC terbaik yang boleh anda mainkan bersama rakan secara dalam talian.
Aspek sosial permainan dalam talian di PC
Meluangkan masa bersama rakan dan orang tersayang memang menyeronokkan dan bersosial—walaupun hanya melalui sembang suara—boleh mengurangkan tekanan. Berganding bahu untuk mengharungi cabaran atau meraih kemenangan bersama dapat mengeratkan hubungan, manakala sedikit persaingan mesra dalam permainan pertarungan atau sukan kegemaran anda boleh menambahkan elemen kompetitif dalam permainan PC dalam talian.
Walaupun anda tidak sedang bermain, seronok juga meluangkan masa berbual dengan semua orang di antara perlawanan atau pusingan. Melepak dan bermain permainan PC dalam talian bersama rakan boleh meredakan tekanan selepas seharian yang mencabar. Berikut ialah beberapa permainan hebat yang boleh anda pertimbangkan untuk malam permainan seterusnya bersama rakan.

Among Us
Permainan siasatan comel ini adalah pilihan yang sangat sesuai untuk dimainkan bersama rakan secara dalam talian di PC. Dalam Among Us, pemain menyertai sebuah Kru angkasa lepas yang ditugaskan untuk membaiki kapal mereka. Satu-satunya masalah ialah ada antara pemain yang sebenarnya Impostor yang berniat untuk membunuh semua kru lain. Sesetengah pemain akan menghabiskan masa mereka dengan rasa paranoid sambil menyiapkan tugasan mini permainan. Yang lain pula akan berusaha sebaik mungkin untuk mensabotaj Kru tanpa disedari atau ditangkap. Keseronokan lucu dalam Among Us sentiasa terasa, sama ada anda bermain sebagai Kru ataupun Impostor. Selain itu, anda juga boleh melontar pemain keluar ke angkasa.

Teenage Mutant Ninja Turtles: Splintered Fate
Permainan roguelike koperasi bergaya cowabunga ini membolehkan pemain mengawal wira separuh kulit kegemaran mereka sambil bertempur merentasi saluran pembetungan dan seterusnya. Teenage Mutant Ninja Turtles: Splintered Fate mengimbau kembali zaman permainan arked bergaduh jalanan, tetapi dengan ciri moden seperti keupayaan menaik taraf dan menyesuaikan kemahiran kura-kura pilihan anda. Terdapat juga banyak elemen rawak, dengan susun atur tahap, bos dan pengubah yang berubah-ubah, menjadikannya sangat boleh dimainkan semula. Ia pilihan yang penuh aksi untuk bermain permainan PC dalam talian bersama rakan-rakan.

The Jackbox Party Pack
Jika anda inginkan malam penuh gelak ketawa dengan sedikit persaingan, The Jackbox Party Pack ialah pilihan yang tepat. Setiap edisi dalam siri ini disertakan dengan beberapa permainan untuk anda dan rakan-rakan mainkan dalam talian di PC. Ada yang melibatkan soalan trivia, manakala yang lain mungkin membuatkan anda mereka baju dan mencipta slogan. Jika jumlah pemain sudah penuh, terdapat pilihan penyertaan penonton, jadi kumpulan besar pun masih boleh turut serta dan menikmati The Jackbox Party Pack bersama-sama.

Rocket League
Kereta berkuasa roket bermain bola sepak ialah konsep Rocket League—dan apabila anda main dalam talian bersama rakan-rakan, barulah permainan jadi lebih menarik. Sama ada anda menentang pasukan lain dalam perlawanan kasual 3 lawan 3 atau menganjurkan kejohanan peribadi bersama rakan-rakan, Rocket League menawarkan aksi dalam talian yang mencukupi untuk menghiburkan anda. Rocket League ialah pilihan yang hebat untuk permainan PC dalam talian bersama rakan-rakan.

Grand Theft Auto Online
Sandbox open world dalam Grand Theft Auto V ialah taman permainan untuk anda dan rakan-rakan mencipta kekacauan permainan yang menyeronokkan. Dalam GTA Online, anda dan rakan-rakan boleh melancarkan rompakan yang keterlaluan atau menyertai perlumbaan jalanan untuk meraih wang tunai dan XP. Anda juga boleh berkeliaran sesuka hati, meletupkan pelbagai benda, dan mencuri kereta daripada NPC. Ia pilihan yang terbaik jika anda ingin lepak dan buat onar bersama rakan-rakan dalam talian.

Fortnite
Fortnite mempunyai katalog pengalaman yang sangat besar dan sentiasa berkembang untuk para pemain. Anda dan rakan-rakan boleh bekerjasama dalam Battle Royale, alami permainan kelangsungan hidup LEGO® Fortnite, dan mencuba pelbagai pengalaman ciptaan pemain—termasuk yang anda dan rakan-rakan cipta sendiri. Fortnite menawarkan peluang permainan dalam talian yang sangat banyak dan mengagumkan. Dan permainan ini juga boleh dimainkan secara percuma!
Persediaan untuk permainan dalam talian
Sebelum anda mula bermain permainan PC terbaik dalam talian bersama rakan-rakan, mari pastikan anda sudah bersedia sepenuhnya. Semasa memilih permainan, pastikan komputer permainan anda memenuhi semua keperluan minimum yang ditetapkan. Setiap permainan di Epic Games Store memaparkan keperluan sistem yang diperlukan, jadi pastikan anda semak spesifikasi anda sebelum membeli.
Pastikan anda mempunyai sambungan Internet yang kukuh dan kelajuan yang mencukupi untuk bermain dalam talian tanpa gangguan. Walaupun anda boleh bermain melalui sambungan Wi-Fi, sambungan Ethernet selalunya lebih pantas dan lebih stabil.
Anda mungkin juga perlu mencipta akaun dalam permainan atau dalam talian sebelum dapat bermain bersama rakan-rakan. Sebagai contoh, anda memerlukan akaun Epic Games untuk bermain Fortnite atau Rocket League dalam talian bersama rakan-rakan. Banyak permainan memudahkan anda untuk mencipta akaun yang diperlukan bagi bermain dalam talian bersama rakan-rakan.
Main permainan PC kegemaran anda bersama rakan-rakan dalam talian di Epic Games Store
Jumlah permainan PC yang menanti untuk anda dan rakan-rakan mainkan memang luar biasa banyaknya. Lebih banyak permainan sentiasa tiba di Epic Games Store dan banyak daripadanya menawarkan permainan dalam talian koperasi atau kompetitif. Pastikan anda menyemak keseluruhan katalog kami untuk mencari permainan PC terbaik untuk dimainkan dalam talian bersama rakan-rakan, dan kunjungi halaman berita Epic Games Store untuk mengikuti perkembangan terkini daripada pembangun kegemaran anda tentang permainan kegemaran anda.