Berita

10 permainan zombi terbaik untuk dimainkan sekarang

E
Epic Games
29 Jun 2025
Zombi sememangnya sesuai untuk dijadikan permainan video—bagai mengoyak kertas dinding di rumah agam terbengkalai, mereka berada di mana-mana. 

Permainan video zombi tersedia dalam berbagai bentuk, saiz dan genre yang dapat dibayangkan. Hal ini pula menyukarkan pemain untuk memilih permainan zombi menyeronokkan yang semakin lama, semakin bertambah jumlahnya, apatah lagi mengenal pasti permainan kelangsungan hidup dunia zombi yang sesuai dengan minat anda. 

Kami hadir untuk membantu dengan senarai 10 permainan zombi terbaik untuk PC yang tersedia untuk anda mainkan sekarang di Epic Games Store. Daripada permainan kelangsungan hidup kepada pengembaraan naratif dan penembak pandangan pertama, anda pasti dapat menjumpai permainan yang anda idamkan.  
 

1. The Walking Dead: The Telltale Definitive Series


Bertemakan dunia dalam siri The Walking Dead yang memenangi anugerah, karya Robert Kirkman, tajuk Telltale ini tidak menumpukan gerombolan zombi, sebaliknya berkisar tentang pengalaman naratif. Pemain akan bermain watak Lee Everett ketika dia cuba kekal hidup ketika wabak zombi tersebar sambil melindungi seorang anak yatim bernama Clementine. 

Seperti kebanyakkan tajuk Telltale, The Walking Dead ialah permainan pengembaraan yang melibatkan pemain untuk membuat keputusan yang akan mempengaruhi hasil naratif. Pilihan dialog, interaksi dengan NPC dan aksi langsung yang mengubah perjalanan pengalaman anda. Pemain juga memiliki beberapa acara masa pantas untuk diatasi. 
The Walking Dead The Telltale Definitive Series
The Walking Dead Telltale ialah pilihan terbaik bagi pemain yang mencari pengalaman yang lebih menumpukan naratif dengan tumpuan terhadap watak utama dan perkembangan mereka dalam kisah yang berubah-ubah. Itulah yang membezakan permainan ini: Tidak sama seperti tajuk lain dalam senarai ini yang lebih memfokuskan aksi, The Walking Dead Telltale mendapat pujian kerana penceritaan yang mendalam dan beremosi. Dengan semua laluan bercabang dan pilihan dialog dalam kisahnya, perkara ini juga membuka peluang untuk pemain menghabiskan permainan berulang-kali.
 

2. The Last of Us Part 1


Jika anda mencari permainan video zombi dengan aksi, debaran dan kisah yang mengasyikkan, anda pasti mahukan The Last of Us Part 1oleh Naughty Dog. Latar permainan ini berlaku selepas dunia ditimpa bencana wabak disebabkan oleh virus cordyceps kulat yang mengubah manusia menjadi raksasa yang laparkan daging. Pemain mengawal watak Joel Miller, yang ditugaskan untuk mengiringi gadis remaja, Ellie, bagi pihak militia yang dikenali sebagai Fireflies. Mereka berdua mengembara merentasi Amerika Syarikat yang dilanda wabak. Jika mereka berjaya, perjalanan mereka mungkin dapat membawa kepada penghasilan penawar virus tersebut.

Gaya permainan The Last of Us Part 1 ialah gabungan pengembaraan aksi pandangan ketiga dan sedikit teka-teki mudah. Pemain bukan sahaja perlu melawan mereka yang dijangkiti, tetapi geng penyangak juga termasuk. Senjata api, senjata jarak dekat dan senjata lain yang diubah suai seperti busur silang dan bom botol boleh digunakan oleh pemain dan Joel juga boleh meminta Ellie yang dikawal AI untuk membantu dalam situasi tertentu. Selinap juga memainkan faktor dalam The Last of Us, kerana penyelinapan yang berhasil dapat membantu pemain mendapat kelebihan ke atas musuh mereka. Selain permainan berkualiti tinggi, The Last of Us juga menampilkan kisah yang sangat kuat dan menyayat hati, justeru mengangkat pengalaman keseluruhan permainan zombi ini ke tahap lebih tinggi. 
 

3. Dead Space


Berbeza dengan mana-mana permainan PC zombi dalam senarai ini, pembangun Dead Space iaitu Motive Studio menawarkan pengalaman seram-kelangsungan hidup fiksyen sains yang mendebarkan. Anda bermain sebagai Isaac Clarke, jurutera yang terperangkap dalam kapal angkasa Ishimura. Di sekelilingnya terdapat tragedi misteri dan kematian disebabkan oleh gerombolan mutasi manusia yang dikenali sebagai Necromorph. Selami sudut pandangan Isaac dan kekal hidup dalam pengembaraan anda menaiki Ishimura menggunakan pilihan alatan yang diubah menjadi senjata sementara, membelah dan mengalahkan Necromorph di sepanjang perjalanan.
Dead Space
Dead Space penuh dengan suasana yang mendebarkan, takut kejut menyeramkan serta kengerian adegan pemotongan anggota badan. Walaupun ini memiliki rentak dan mekanik permainan yang sama dengan permainan zombi lain dalam senarai ini, suasana dan kisah yang menyeramkan telah menjadikan permainan ini klasik moden sejati yang patut anda selami.
 

4. Plants vs. Zombies


Plants vs. Zombies tidak disangkal lagi untuk pemain yang inginkan permainan zombi yang menyeronokkan dan boleh dinikmati sekeluarga. Permainan zombi pertahanan menara klasik ini menugaskan pemain untuk menjaga kebun mereka dalam menghalang gerombolan demi gerombolan zombi yang datang. Untuk mempertahankan diri anda daripada menjadi hidangan utama bufet zombi, anda akan menanam item seperti sayur menembak biji dan bunga yang memakan zombi. 

Unsur comel dan seakan kartun Plants vs. Zombies serta ketiadaan darah dan keganasan mewujudkan pengalaman permainan yang mesra keluarga. Tidak sukar untuk memahami cara permainan ini, oleh itu pemain lebih muda tiada masalah untuk terus bermain.
 

5. Back 4 Blood


Penyambung spiritual siri Left 4 Dead, Back 4 Blood oleh Turtle Rock Studios, ialah permainan FPS seram-kelangsungan hidup ko-op yang menugaskan pemain untuk pergi dari titik A ke titik B sambil berlawan dengan gelombang zombi yang tidak berpenghujung, dilengkapi pelbagai jenis senjata api dan senjata jarak dekat. 

Selain daripada pelbagai mimpi ngeri zombi biasa, pemain berhadapan dengan kelas zombi istimewa seperti pemuntah asid Hocker, Retch yang kembung dan meletup, Breaker berperisai gergasi. Pemain boleh memilih daripada berbilang watak boleh dimainkan dan menyesuaikan keperluan bekalan mereka dengan dek kad yang semakin berkembang, memberikan pelbagai manfaat atau item. Back 4 Blood ialah salah satu permainan zombi terbaik untuk pemain yang mencari pengalaman penembak ko-op yang mencabar.
 

6. Dead Island 2


Los Angeles yang dipenuhi dengan zombi menjadi latar Dead Island 2 oleh Dambuster Studio, yang meletakkan pemain sebagai salah seorang daripada enam pembunuh zombi. Setiap watak memiliki set kebolehan dan kemahiran khusus, namun setiap seorang memiliki matlamat yang sama: potong dan libas kesemua golongan elit yang telah menjadi zombi. 
Dead Island 2
Permainan PC zombi ini membolehkan pemain menerokai City of Angels sebagai persekitaran open world, yang penuh dengan lokasi ikonik. Watak permainan main peranan pandangan pertama ini mengumpul dan mengubah suai senjata, menaik tahap dan selain daripada pokok kemahiran, tambah kemahiran mereka dengan dek kad yang terus berkembang. Ketika anda menerokai punca tersebarnya wabak ini dan cuba lari daripada zon kuarantin, anda boleh melawan gerombolan zombi secara solo atau berpasukan dengan ko-op bersama rakan dalam pengembaraan seram penuh aksi ini. 

Kesan pertempuran Dead Island 2 mencerminkan secara realistik mengikut senjata pilihan anda, merosakkan, memotong, mematahkan tulang, memutuskan anggota badan dan mengoyak-ngoyakkan daging. Gerombolan zombi yang berkeliaran juga banyak dan tidak terkawal, bermaksud lebih baik anda terus melarikan diri daripada cuba melawan gerombolan tersebut. Dead Island 2 ialah permainan zombi yang menggabungkan persekitaran yang berwarna-warni, kreatif dan pertempuran yang memberikan kepuasan. Inilah sebab permainan ini merupakan pilihan bagus jika anda ingin mencari permainan zombi yang menyeronokkan dan penuh aksi. 
 

7. Days Gone


Permainan zombi aksi open world oleh Bend Studios, iaitu Days Gone berlatarkan hutan rimbun di Barat Laut Pasifik pascamalapetaka. Pemain memainkan watak penunggang Deacon St. John, pemburu baunti dan pemandiri, ketika dia menentang Freaker dan puak manusia yang agresif. Sambil mencari isteri anda yang hilang, anda akan membuat perikatan dengan kem golongan yang terselamat, mengumpulkan bekalan dan menaik taraf senjata anda. Dalam dunia Days Gone, yang semakin merudum dan teruk, amat penting untuk mengurus peluru dan keadaan senjata sama juga dengan mengisi minyak dan membaiki motosikal anda. 

Days Gone ialah pilihan yang baik jika anda mencari pengalaman seorang pemain kelangsungan hidup dunia zombi yang menyeronokkan dan memfokuskan penceritaan. Persekitaran yang ada luas dan penuh dengan pemandangan menakjubkan merentangi hutan yang subur, padang pasir gersang dan dataran bersalji. Freaker yang jahat dan berbahaya mungkin menanti di mana-mana sahaja, dan kekurangan sumber yang tersedia menambahkan lagi kelainan yang menarik untuk formula zombi dalam Days Gone
 

8. State of Decay 2


State of Decay 2 oleh pembangun Undead Labs ialah permainan kelangsungan hidup dunia zombi pandangan ketiga yang menugaskan sehingga empat pemain ko-op untuk menyelamatkan orang yang terselamat daripada wabak zombi, membina semula peradaban dan melindungi orang ramai dengan mengembangkan sumber mereka dan mengeksploitasi persekitaran open world permainan ini. 
State of Decay 2
Mencari sumber dan mengimbangi sumber untuk memastikan anda dan NPC anda boleh mendapatkan barangan seperti ubat, peluru dan makanan adalah penting untuk mengembangkan tempat perlindungan anda, serta menyertai pelbagai misi untuk orang yang terselamat. Zombi dalam State of Decay 2 ada di mana-mana dan berbahaya, anda boleh berasa tersepit dan tidak mampu mengawal keadaan. Jika anda menikmati permainan survival tradisional dan melakukan perkara seperti membina pangkalan dan mengurus sumber, State of Decay 2 mungkin permainan video zombi yang sesuai untuk anda.
 

9. World War Z: Aftermath


Permainan penembak zombi ko-op pandangan ketiga oleh pembangun Saber Interactive iaitu World War Z: Aftermath menonjol dengan gerombolan yang terbesar dan terpantas dalam permainan video. Diinspirasikan daripada filem dengan nama yang sama, pemain boleh memilih daripada lapan kelas—Dronemaster, Exterminator, Fixer, Gunslinger, Hellraiser, Medic, Slasher, and Vanguard—sambil mereka menembak dan menyerang secara dekat terhadap gelombang zombi yang brutal. 

Pengembaraan ini bermula dalam siri misi cerita yang merentasi glob dari Rusia ke Rom dan Vatican City. World War Z: Aftermath menyokong ko-op empat pemain tetapi permainan ini juga menyediakan petarung AI jika anda tidak memiliki pasukan yang penuh. Pemain yang mencari pengalaman penembak yang mencabar, penuh dengan aksi pantas dan zombi yang laparkan otak tidak perlu mencari lagi selain World War Z: Aftermath
 

10. Dying Light


Dying Light oleh pembangun Techland ialah permainan aksi zombi yang memfokuskan parkur, yang unik dan menekankan pergerakan lincah. Persekitaran dunia terbuka menjadi gim hutan anda sambil anda memanjat bangunan dan menggunakan luncur keluang dari atas ke atap, mengelak dari gerombolan zombi, menerokai kawasan terpencil dan kekal terselamat. 
Dying Light
Kitaran siang dan malam Dying Light mengubah permainan. Ketika siang, zombi nampak lemah dan muncul dalam kumpulan lebih kecil. Selepas matahari terbenam, mereka menjadi lebih kuat, lebih agresif dan muncul lebih banyak. Pemain perlu memasang perangkap dan mencari tempat perlindungan pada waktu petang untuk mengelak daripada situasi tidak terkawal. 

Berbeza daripada permainan video zombi yang lain, Dying Light memfokuskan pergerakan dan ketangkasan berbanding kekuatan senjata api. Permainan ini dibuat untuk pengalaman permainan rentak pantas berbanding permainan kelangsungan hidup yang lain dan penembak pandangan pertama. 
 

Cari lebih banyak permainan zombi untuk dimainkan di Epic Games Store


Senarai ini cuma beberapa permainan zombi terbaik untuk PC yang tersedia pada Epic Games Store, namun ada banyak lagi yang tersedia jika anda masih mahukan yang selanjutnya. Terokai semua zombie games yang tersedia pada Epic Games Store untuk lebih banyak tajuk yang menampilkan gerombolan zombi yang lapar.