
Bagaimana Arknights: Endfield mengajar saya untuk berhenti risau dan menyukai permainan gacha

Kali pertama saya melancarkan Arknights: Endfield, saya terfikir tentang Pokémon.
Ketika permainan itu mula-mula tiba di Game Boy, saya adalah seorang remaja yang sombong yang menganggap dia terlalu tua untuk memainkannya. Kemudian saya melihat Pokémon menjadi satu fenomena budaya dan tanpa saya sedari, selama bertahun-tahun saya fikir saya telah mensia-siakan peluang saya.
Sentiasa ada cara untuk bermula—tersedia dalam pelbagai warna, pada pelbagai generasi perkakasan—tetapi saya sendiri telah membina halangan mental atas sebab yang sama yang menjadikannya sukar untuk meminati buku komik: Proses untuk mengejar apa yang tertinggal dan mencapai tahap kecekapan terasa amat menakutkan. Namun akhirnya, saya ketepikan ketakutan tersebut, bermain permainan Pokémon , mempelajari bahasanya dan menyukai francais itu.
Bertahun-tahun kemudian, saya mendapati diri saya dalam situasi yang serupa, kali ini dengan permainan gacha, sebuah genre yang dinamakan sempena perkataan yang saya tidak pernah dengar dan tidak faham, dan perkataan tersebut tiba-tiba muncul di merata tempat selepas pelancaran Genshin Impact. Sekurang-kurangnya, saya boleh beritahu yang saya tidak mengulangi kesilapan yang sama. Sekurang-kurangnya, saya boleh katakan saya pernah mencuba beberapa judul terbesar dalam genre ini.
Apa yang tidak mampu saya katakan, sehinggalah baru-baru ini, bahawa sejujurnya saya selesa dengan permainan gacha.
Saksikan Arknights: Endfield, usaha terbaharu dan terbaik saya untuk benar-benar mempelajari bahasa permainan video yang baharu. Perjalanan saya menuju kefasihan ini mengelirukan saya, membebani saya, mengajar saya dan menginsafkan saya. Perjalanan itu juga menjadikan saya seorang peminat gacha.

Gacha, tangkap semua
Saya sangka saya tidak tahu apa itu permainan gacha. Tetapi tanggapan saya hampir salah sama sekali, terima kasih kepada gedung membeli-belah era 80-an.
Semasa saya kecil, cukup kecil sehingga ibu saya harus membawa saya bersama apabila dia pergi membeli-belah, kedai kegemaran saya ialah kedai yang ada mesin di lobi. Dan perkara yang saya gemar lakukan adalah merayu meminta syiling daripada ibu saya agar saya boleh memasukkannya ke dalam slot, memusing engkol besi, dan mendapatkan gula-gula getah yang keras kejung atau cincin labah-labah plastik yang berhabuk, yang dihantar dalam kapsul plastik lut sinar berbentuk kubah.
Rupa-rupanya, itu boleh dikatakan seperti mesin gacha,walaupun harus diakui mesin sekarang jauh lebih canggih berbanding mesin yang ada di Hills pada tahun 1987. Terdapat kapsul berisi mainan di dalam mesin itu, tetapi versi Jepun sudah wujud sejak tahun 1960-an dan hadir dengan satu nama: gachapon atau ringkasnya gacha.
Sebelum saya duduk untuk bermain Arknights: Endfield, saya membuat sedikit kajian kerana saya merasakan saya patut lebih memahami apa sebenarnya permainan gacha. Saya ingin tahu apa yang patut diperhatikan, dan itulah yang saya pelajari: Sesuatu yang dahulunya merupakan tindakan fizikal memutar engkol untuk mendapatkan hadiah telah menjadi digital dan diaplikasikan dalam permainan video.
Dalam permainan video, konsepnya adalah terdapat satu lubuk hadiah yang besar yang dipenuhi dengan pelbagai barangan yang anda inginkan, dan juga pelbagai barangan yang anda tidak begitu inginkan. Jadi, dalam istilah permainan gacha, anda membuat cabutan (saya suka membayangkan tuil di sisi mesin slot) dan mendapat (sebaik-baiknya) hadiah yang lumayan.
Rupa-rupanya, konsep ini bukanlah sesuatu yang susah. Namun, cara permainan ini berfungsi khususnya dalam permainan adalah agak rumit. Berbekalkan sedikit pengetahuan yang saya peroleh semasa memuat turun Arknights: Endfield dari Epic Games Store—termasuk panduan permainan gacha EGS—saya pun terus mencubanya.

Sarat dengan elemen
Salvo pembuka tirai Arknights: Endfield menyajikan 30 minit pertarungan fantasi bersenjatakan pedang yang penuh adrenalin, penerokaan menggunakan zipline, dan perjalanan merentasi tundra bersalji yang kemuncaknya mempertemukan saya dengan sekumpulan sekutu yang muncul tepat pada masanya untuk menewaskan bos bersaiz sebesar gunung.
Permainan utamanya tidak jauh berbeza daripada misi pengenalan itu, menawarkan peluang tanpa henti untuk saya menghayun pedang, membuat rangkaian serangan letupan bersama rakan sepasukan, meneroka dunia terbuka, dan memperoleh pelbagai jenis mata wang yang banyak sebagai ganjaran usaha saya.
Arknights: Endfield ialah permainan yang sarat dengan jalan cerita, menampilkan babak-babak yang penuh watak dan penceritaan di sepanjang setiap laluan yang saya lalui. Selepas pengenalan yang penuh aksi, saya terjaga daripada tidur selama 10 tahun di atas OMV Dijiang, pangkalan Endfield Industries dan merangkap rumah saya. Saya mendapat tahu bahawa saya ialah Endministrator, yang jelas merupakan jawatan penting di dalam kapal angkasa ini, yang berada di orbit rendah mengelilingi bulan bersaiz planet yang dipanggil Talos-II. Kami mengumpul sumber seperti Originium dari permukaan planet, memprosesnya dan mencipta pelbagai barangan dengan menggunakan sumber tersebut di atas Dijiang.
Saya mengetahui semua ini dengan cara yang sama seperti watak saya mempelajarinya, daripada seorang wanita bernama Perlica yang berada di sini untuk membantu saya mengingati bahawa saya ialah seorang pemimpin, pejuang, pencipta bertaraf Edison—pendek kata, wira yang sungguh hebat. Dan rupa-rupanya, dia juga begitu.
Semasa saya bermain sepanjang kempen, saya secara semula jadi bertemu watak-watak baharu, ada antara mereka yang bersedia untuk menyertai kru pejuang empat orang saya (panda humanoid bersaiz gergasi dikira sebagai orang). Perlica serta-merta menjadi kegemaran dan teman setia saya.
Misi yang diberikan kepada saya tidaklah terlalu rumit, manakala pertempurannya pula pantas dan penuh gaya, ditakrifkan oleh aksi-aksi memukau sambil anda mengisi meter dengan setiap serangan. Teruskan menekan butang, dan setiap watak dalam kumpulan anda akan turut serta beraksi, menghancurkan bar nyawa musuh dalam potongan besar secara mendatar.
Kemudian saya mula mendapat rentak kehidupan di Talos-II.
Selama lebih 10 jam, rasanya hampir setiap misi mengajar saya cara melakukan sesuatu yang baharu dalam Arknights: Endfield. Pengajaran ini termasuk komponen pembinaan yang cukup besar, terasa seperti permainan dalam permainan. Saya bukan sahaja perlu mencari dan mengumpul sumber di Talos-II, malah juga perlu memproses sumber-sumber tersebut menjadi komponen berguna dan menghasilkan barangan seperti perisai daripadanya. Permainan ini sangat membantu saya mempelajari perkara-perkara asas, tetapi panduan Epic Games Store tentang cara menguasai pembuatan telah mengubah pengetahuan cetek saya menjadi pemahaman yang lebih mendalam.
Dan saya tidak hilang arah. Saya asyik terfikir, “Perkara ini tidaklah begitu teruk.”
Saya juga asyik terfikir, “Mana elemen gacha?” Arknights: Endfield mengambil masa lebih empat jam untuk memperkenalkan sistem pull, dan pada ketika itulah permainan ini mula menuntut lebih banyak perhatian daripada saya.

Melihat kebenaran
Lucu juga. Saya tidak sedar betapa tepatnya tanggapan saya apabila saya terfikir tentang Pokémon. Rupa-rupanya, siri tentang menangkap kesemuanya itu mempunyai keserasian yang sama seperti permainan gacha, yang mana anda mengumpul operator atau sekutu yang bertarung bersama anda. Menangkap kesemuanya dalam Arknights: Endfield adalah tentang membentuk pasukan yang hebat.
Setiap hari, saya bermain Arknights: Endfield selama berjam-jam, dan setiap hari juga saya akan mendapatkan ganjaran harian permainan tersebut. Ada antara ganjaran itu yang langsung saya tidak fahami, tetapi saya sedar bahawa tidak perlu terlalu risau tentangnya. Permainan ini sentiasa memberitahu saya perkara yang saya perlu tahu tepat pada masanya, dan saya yakin sistem gacha juga akan berfungsi dengan cara yang sama.
Tetapi saya benar-benar sudah tidak sabar untuk melakukan pull. Terdapat sebatang tuil sebenar di dalam permainan tersebut, dan tuil itu memanggil-manggil saya.
Pada hari keempat berturut-turut saya bermain, saya mendapat pelbagai ganjaran item kerana log masuk, sama seperti hari-hari sebelumnya. Saya tidak begitu faham tentang banyak perkara, tetapi saya berasa lebih selesa, dan memutuskan untuk membaca penerangan bagi setiap item. Alangkah terkejutnya saya apabila mendapati bahawa saya dijamin akan mendapat watak enam bintang — gred pull yang paling tinggi dalam permainan ini. Kemudian saya masuk untuk melakukannya, melihat senarai watak, dan tergamam. Saya langsung tidak tahu siapa yang patut saya pilih.
Dan inilah yang menariknya: Sama seperti di setiap bahagian lain dalam Arknights: Endfield, saya tidak perlu tahu sekarang. Saya percaya pembangun akan memberitahu saya pada satu masa nanti, kerana mereka telah membuktikan kemampuan mereka. Saya fikir, saya akan belajar apabila mereka mahu saya belajar.
Keesokan harinya, segalanya tiba-tiba menjadi jelas.
Saya mendapat banyak Chartered HH Permit dengan bermain dan log masuk. Rupa-rupanya HH bermaksud Headhunting, iaitu istilah yang digunakan Arknights: Endfield untuk pull. Jadi, saya pergi ke menu, mengesahkan bahawa saya mempunyai banyak permit tersebut, dan kemudian terus ke menu Headhunting dari situ. Ketika itulah saya sedar bahawa saya dijamin akan mendapat watak enam bintang dalam jumlah pull tertentu. Dan saya memang ada banyak pull yang tersedia.
Dan tiba-tiba, saya nampak semuanya dengan jelas, seolah-olah begini dalam kepala saya:
- Anda memperoleh mata wang yang membolehkan anda melakukan pull.
- Anda tarik. Mungkin nasib anda baik. Kemungkinan besar, anda mendapat sesuatu yang biasa-biasa sahaja.
- Permainan ini akan bersimpati dengan anda dan menjamin ganjaran yang hebat selepas sejumlah pull tertentu.
- Hasilnya: Anda mengumpul mata wang dengan banyak sehinggalah ganjaran yang hebat itu dijamin menjadi milik anda.
Tiada masa yang lebih sesuai daripada sekarang! Masa untuk teragak-agak sudah tamat, lalu saya melakukan pull demi pull, dan sedar-sedar, saya dah ada watak enam bintang.
Dan akhirnya saya faham. Saya memahami daya tarikannya. Semuanya tentang memperoleh hak untuk melakukan pull demi mendapatkan hadiah rawak daripada banner yang ada. Itulah maksud sebenar gacha.
Lifeng, watak enam bintang saya kini menjadi ahli terbaharu pasukan saya, sedia untuk membantu memusnahkan musuh-musuh jahat dan menyelamatkan dunia. Saya pasti akan tersenyum setiap kali melihat ahli pasukan baharu saya ini. Saya berjaya melakukannya. Akhirnya saya faham caranya.

Banyak sungguh yang perlu dipelajari
Saya mempunyai pendapat yang sama tentang dua permainan yang sangat berbeza dalam tempoh sebulan kebelakangan ini. Ketika cuba memahami Crimson Desert dan Arknights: Endfield, saya asyik terfikir, “Wah, banyak sungguh elemen yang terdapat dalam permainan ini. Kalau ada had maksimum berapa banyak permainan yang boleh dimasukkan ke dalam sesebuah permainan, rasanya inilah dia.”
Saya adalah seorang pemikir yang tegar, dan otak saya sentiasa mencari-cari kegagalan diri sendiri, yakin bahawa saya terlepas pandang perkara yang nyata dan tersalah melakukan sesuatu (yang mana maksud 'sesuatu' di sini adalah 'segala-galanya'). Sambil saya bermain Arknights: Endfield, saya sering tertanya-tanya sendiri, mungkinkah saya ini terlalu lurus dan naif sehinggakan saya tidak sedar apa yang saya tidak tahu.
Baiklah, kalau itu benar, saya terima sahaja kejahilan saya buat masa ini. Tiada apa-apa tentang permainan ini yang kelihatan seperti disekat secara sengaja. Sepanjang lebih 10 jam pertama saya bermain, tiada satu pun yang membuatkan saya rasa seolah-olah saya patut menukarkan wang dunia sebenar demi mendapatkan ganjaran dalam permainan. Saya mempunyai lebih banyak barangan daripada apa yang mampu saya gunakan. Mungkin perkara itu akan berubah suatu hari nanti apabila saya sudah benar-benar memahami segalanya dengan mendalam. Namun, hari itu bukanlah hari ini, dan selagi perkara itu belum atau tidak berlaku, saya berpuas hati untuk sekadar menikmati kandungan permainan yang sangat banyak ini secara percuma sambil belajar sedikit demi sedikit.
Saya telah meluangkan masa kira-kira 15 jam bermain Resident Evil Requiem pada awal tahun ini. Permainan ini sarat dengan naratif, bertaraf AAA dan memfokuskan kepada mod kempen yang sangat saya minati. Itu menelan belanja yang agak besar bagi saya, tetapi saya gembira dengan pertukaran wang tersebut demi hiburan daripada Capcom. Saya juga telah meluangkan masa yang hampir sama untuk bermain Arknights: Endfield, dan saya benar-benar sangat menikmatinya. Kosnya percuma dan permainan ini telah mengajar saya lebih daripada yang pernah saya tahu tentang permainan gacha. Jika anda tanya saya, itu adalah satu tawaran yang sangat berbaloi.
Jika anda tertarik dengan jenis pengembaraan seperti ini, Epic Games Store penuh dengan permainan gacha, daripada Arknights: Endfield hingga Genshin Impact, Infinity Nikki, Honkai: Star Rail, Snowbreak: Containment Zone, dan Wuthering Waves. Pada tahap ini, saya rasa saya sudah mula terjebak, jadi jika anda terserempak dengan saya, pastikan anda menyapa saya, hai Endministrator.