Berita

15 permainan simulator paling aneh teratas untuk mula dimainkan

E
Epic Games
12 Jul 2025

Permainan simulasi mendapat reputasi kerana mencipta semula pengalaman tugas dan kerja dalam dunia sebenar dengan teliti. 

Namun, sesetengah permainan simulasi mengacau-bilaukan jangkaan tersebut dan membawa genre ini ke arah yang aneh dan menggelikan hati. Kami ada menyenaraikan 15 permainan sim yang aneh di bawah, yang tersedia sekarang di Epic Games Store.
Jurassic World Evolution 2
 

Jurassic World Evolution 2


Dalam simulator taman tema seperti Planet Coaster 2, pelancong yang sukar dikawal biasanya menjadi punca kerisauan terbesar pemain. Manakala dalam Jurassic World Evolution 2, anda perlu memastikan pengunjung tidak ditelan oleh dinosaur gergasi pemakan daging.

Simulator pengurusan ini menugaskan anda untuk membina taman anda sendiri sepenuhnya. Jurassic World Evolution 2 mempunyai mod kempen yang meyakinkan dan berlatarkan selepas peristiwa dalam Jurassic World: Fallen Kingdom. Anda akan dapat melihat karakter yang dikenali sepanjang permainan sambil anda menangkap dan mengurung dinosaur. Anda juga boleh bermain dalam mod medan ujian, yang mana anda boleh membina struktur, mengklon dinosaur dan juga menyambat DNA dinosaur untuk mencipta makhluk baharu. Jika anda mencari permainan simulasi yang melibatkan para saintis yang ralit memikirkan sama ada mereka boleh atau tidak boleh melakukan sesuatu tetapi tidak berhenti untuk memikirkan sama ada mereka patut, maka Jurassic World Evolution 2 sesuai untuk anda.
Bridge Constructor The Walking Dead


Bridge Constructor: The Walking Dead


Bridge Constructor: The Walking Dead menjadikan projek sains membina jambatan yang mudah kepada permainan ekstrem yang dipenuhi zombi. Sesuai dengan namanya, tugas anda adalah membina jambatan sambil menguruskan ancaman zombi yang mendatang. Bayangkan anda membina jambatan yang cukup kukuh untuk manusia melarikan diri tetapi akan runtuh apabila rombongan zombi yang begitu ramai datang menyeberang. 

Sama seperti permainan Bridge Constructor yang lain, kegagalan anda sama menyeronokkan dengan kejayaan anda. Cuba Bridge Constructor: The Walking Dead jika anda mencari sim binaan dengan sedikit gigitan. 
Cat Cafe Manager
 

Cat Cafe Manager


Simulator perniagaan kecil yang menyenangkan hati ini berbeza dengan permainan lain, dengan penambahan sejumlah kucing yang comel. Cat Cafe Manager membolehkan anda membina kafe mengikut cita rasa anda tersendiri, mengambil pekerja, memilih menu dan memastikan pengunjung kafe anda gembira. Permainan ini juga menugaskan anda untuk menjaga kucing jalanan di sekitar bandar Caterwaul Way dan membela mereka agar menjadi sebahagian daripada kafe anda. Cat Cafe Manager merupakan simulasi comel dan kasual yang menawarkan gaya permainan yang hebat dan aneh.
Atomicrops
 

Atomicrops


Simulasi perkebunan yang paling aneh ialah Atomicrops. Separuh daripada Atomicrops ialah penembak retro atas ke bawah, separuh lagi pula ialah sim kebun. Pemain mesti menanam buahan dan sayuran bermutasi sambil menjaga kebun mereka daripada makhluk gila seperti raksasa kaktus gergasi dan juga makhluk asing. Apabila kebun anda semakin berkembang, anda akan menemukan persekitaran baharu untuk menanam tanaman baharu sambil belajar untuk menternak haiwan, membuat kawan dan juga berkahwin. 
PC Building Simulator 2
 

PC Building Simulator 2


PC Building Simulator 2 boleh menjadi alat yang berguna bagi pemasang PC yang amatur dan berpengalaman. PC Building Simulator 2 menampilkan mod kerjaya yang membuatkan anda membuka kedai anda sendiri, membaiki dan menaik taraf PC untuk klien dan mengembangkan perniagaan anda.  Terdapat juga mod gaya bebas yang membolehkan pemain membina rig angan mereka sepenuhnya menggunakan produk berlesen dalam dunia nyata daripada pengeluar perkakasan PC.
Kill It With Fire
 

Kill It With Fire


Kill It With Fire mungkin merupakan simulator penghapus paling aneh yang pernah dihasilkan. Tugas anda adalah memburu labah-labah menggunakan alat luar biasa untuk membunuh mereka. Senjata anda termasuk segala-galanya daripada kuali leper sehinggalah pistol laser. Premis ini mungkin tampak mudah, tetapi gaya permainan Kill It With Fire yang berlebihan dan mencuit hati menjadikannya permainan sim yang menyeronokkan dan aneh. 
Overcooked 2
 

Overcooked! 2


Bekerja sebagai cef di dapur yang sibuk boleh menjadi pengalaman yang intens walaupun dalam keadaan yang menyeronokkan, tetapi apabila nasib dunia dipertaruhkan, maka kehangatan bebannya dapat dirasai. Overcooked! 2 bukan sahaja memerlukan anda menyediakan bahan dan memasak mengikut resipi dengan baik, tetapi anda perlu berbuat demikian sambil mengelak daripada bahaya dan halangan. Sehingga empat pemain boleh bekerjasama atau bersaing sesama sendiri untuk mendapatkan skor tertinggi. Overcooked! 2 memberikan pengalaman yang kacau-bilau dan kelakar, sesuai untuk bermain dengan rakan dan dimainkan di parti.
House Flipper
 

House Flipper


Jika anda berminat dengan pengubahsuaian, House Flipper mungkin sim yang sesuai untuk anda. Sim yang aneh ini membuatkan pemain mengubah suai dan menjual rumah daripada asas. Anda perlu membuat kerja seperti meruntuhkan dinding, membersihkan kotoran dan memasang lekapan baharu sambil anda mengubah rumah usang menjadi rumah impian. Mesti anda tidak menjangkakan permainan yang berkisarkan tentang membeli dan menjual semula rumah melibatkan begitu banyak tugas pemusnahan dan pembinaan semula di samping penghiasan dalaman, tetapi inilah yang menjadikan House Flipper pilihan yang baik bagi peminat sim aneh. 
The Sims 4
 

The Sims 4


Sudah berdekad pemain The Sims melakukan perkara paling aneh terhadap karakter maya mereka. The Sims 4 meraikan keanehan tersebut. Walaupun anda masih boleh mencipta Sim dan tempat untuk mereka tinggal, anda juga boleh membawa mereka dalam pengembaraan seakan-akan alam mimpi, sama ada terbang ke angkasa lepas atau mengunjungi istana berhantu—dan sudah tentulah, anda masih boleh mengacau mereka dengan cara kreatif anda yang tersendiri. Dengan berjam-jam pilihan yang menyeronokkan dan pelbagai, The Sims 4 merupakan antara permainan simulasi paling popular dan paling aneh. 
Deeeer Simulator Your Average Everyday Deer Game
 

DEEEER Simulator: Your Average Everyday Deer Game


Jangan tertipu dengan tajuk ini: DEEEER Simulator langsung tidak ada kena-mengena dengan rusa yang normal. Biasanya, rusa tidak memanjangkan lehernya untuk bergayut dari bandar ke bandar seperti Spider-Man. Kita juga tidak pernah melihat rusa yang berlari dengan kaki belakangnya pada kelajuan supersonik. Pemain boleh berlari di sekitar bandar, memusnahkan harta benda dan menyebabkan kekacauan yang tidak terjangkau dek akal sambil berlawan dengan musuh seperti robot gergasi yang dibuat daripada haiwan. 
Satisfactory
 

Satisfactory


Dalam Satisfactory, anda memainkan peranan sebagai penjelajah angkasa lepas, meneroka dunia baharu yang eksotik dan membina kilang automatik untuk memanfaatkan sumber semula jadinya dengan lebih baik. Sim pandangan pertama ini menugaskan anda untuk mencari sumber alam di planet asing, memperhalusi sumber yang anda kumpul menjadi objek berguna dan menghasilkan kilang paling efisien yang dapat dibayangkan. Ada juga sedikit unsur perlawanan yang dimasukkan dalam permainan ini. 

Satisfactory merupakan campuran penerokaan, pengurusan kilang dan perlawanan yang menarik, yang menjadi gabungan hebat untuk pengalaman sim yang menyeronokkan serta aneh. 
Kerbal Space Program


Kerbal Space Program

Kerbal Space Program merupakan antara permainan sim paling gila dan aneh. Kerbal yang comel dan ceria tekad untuk meneroka alam semesta, maka sudah menjadi tugas anda untuk membawa mereka ke sana. Sim penerbangan angkasa lepas ini meminta anda merancang dan mengurus program angkasa lepas Kerbal dari awal. Anda akan membina kapal angkasa lepas, menyelidik dan memajukan teknologi baharu serta merekrut kakitangan dan calon angkasawan untuk meneroka galaksi. Salah satu perkara terbaik tentang Kerbal Space Program ialah permainan ini menggunakan simulasi fizik dan aerodinamik yang mendalam, lantas memperdayai anda dengan licik untuk mempelajari sesuatu semasa anda bermain. Ini juga merupakan pilihan yang mesra keluarga. 
Totally Accurate Battle Simulator
 

Totally Accurate Battle Simulator


Bayangkan anda mempunyai begitu seluruh tentera askar getah yang boleh dikerahkan. Dalam Totally Accurate Battle Simulator, anda boleh mencabar pemain lain dan melihat jika anda boleh mengalahkan rancangan dan strategi lawan anda menggunakan askar rendahan dan unit eksotik seperti minotaur dan naga. Anda juga boleh mencipta pertempuran tersuai atau bermain menerusi mod kempen dan berlawan menerusi pelbagai cabaran. Seperti yang dapat diteka melalui tajuknya, Totally Accurate Battle Simulator juga dipenuhi dengan jenaka. Segala-galanya daripada unit pertempuran mudah melantun sehinggalah kesan bunyi aneh, direka dengan tujuan berlebihan. Jika anda mencari sim aneh yang pertempuran paling realistiknya langsung tidak realistik, maka cubalah Totally Accurate Battle Simulator.
Surgeon Simulator 2
 

Surgeon Simulator 2


Jika doktor anda sama seperti doktor yang anda mainkan dalam Surgeon Simulator 2, maka anda perlu ganti doktor tersebut dengan segera. Dalam permainan ini, anda akan melakukan pembedahan ganjil menggunakan alatan perubatan (dan alatan bukan perubatan). Permainan ini sengaja menjadikan kawalan sukar dan tidak tepat, menambah lagi huru-hara dalam keadaan kacau-bilau. Surgeon Simulator 2 juga termasuk berbilang pemain, permainan mini dan pelbagai tahap komuniti yang dicipta oleh para pemain.  Ini merupakan antara permainan simulator paling pelik yang pernah kami main.
Goat Simulator 3
 

Goat Simulator 3


Goat Simulator 3 juga aneh dan menyeronokkan. Ya, anda boleh bermain sebagai kambing dalam “simulator” medan ujian ini yang membuatkan anda melompat, menanduk dan menjadi pengacau kepada sesiapa atau apa-apa pun yang menghalang anda. Anda akan sentiasa menimbulkan huru-hara dan kemusnahan dengan aksesori seperti beg jet dan mata laser—anda juga boleh membuat pasukan dengan tiga rakan dalam mod berbilang pemain. Pada setiap detik yang luar biasa, Goat Simulator 3 merupakan antara permainan video simulator paling aneh pernah dihasilkan. 
 

Temukan permainan simulator aneh untuk dimainkan di Epic Games Store


Ini merupakan antara permainan paling aneh untuk dimainkan di Epic Games Store, tetapi ada lebih banyak lagi untuk anda nikmati. Pastikan anda meneroka semua permainan simulator kami untuk lebih banyak lagi permainan dan pastikan anda melihat halaman berita Epic Games Store untuk mendapatkan berita terkini daripada semua pembangun kegemaran anda tentang semua permainan kegemaran anda.